Pic Kee Zhe Yie

KUALA LUMPUR – Tiga hari sebelum tirai saingan Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) dibuka dengan Peringkat 1 Shah Alam-Kampar Ahad ini, 11 pasukan telah membuat perubahan dalam barisan enam pelumbanya manakala dua pasukan lain memuktamadkan senarai terakhir mereka.

Pasukan WorldTeam dari Belanda, Picnic PostNL memutuskan untuk menghantar pasukan seimbang dengan menggantikan empat pelumba dalam senarai awalnya iaitu Matt Dinham, Tim Naberman, Milan de Causter dan Mees Vlot, dan menyenaraikan Mattia Gaffuri, Christiaan Van Rees, Matthew Peace dan Roy Hoogendorn.

Gaffuri dan Peace adalah pelumba berkebolehan dalam pendakian untuk membantu Guillermo Juan Martinez manakala Van Rees dan Hoogendorn akan membantu seorang lagi pakar pecut pasukan Picnic, Dillon Corkery.

Pasukan ProTeam Sepanyol, Caja Rural-Seguros RGA membuat perubahan ketara tiga pelumba, dengan menyenaraikan pakar pecut yang mempunyai 52 kemenangan sepanjang kariernya termasuk 5 peringkat dalam Giro d’Italia dan dua peringkat Tour de France, Fernando Gaviria Rendon.

Pelumba kelahiran Colombia berusia 32 tahun itu yang mengalami kemalangan dan terkeluar daripada saingan di Peringkat 12 Tour de France Julai lalu akan menggantikan pakar pecut kelahiran Portugal, Iuri Leitao.

Seorang lagi pelumba pasukan itu yang digugurkan ialah pendaki Nil Aguilera tetapi digantikan dengan pendaki kelahiran Sepanyol, Jabier Ibanez Beltran de Salazar, 24, manakala seorang lagi pendaki, Gorka Corres digantikan Jan Castellon, 23, pendaki muda yang menduduki tangga kedua individu keseluruhan (GC) Tour of Qinghai Lake pada Julai lalu dan kesembilan di AIUla Tour, awal tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi Sekretariat LTdL2026, Emir Abdul Jalal berkata, perubahan pada saat-saat akhir seperti ini adalah perkara biasa menjelang bermula sesebuah perlumbaan jelajah kerana banyak faktor diambil kira oleh setiap pasukan.

“Kami tidak hairan dan sudah menjangkakan perubahan senarai pelumba kerana ia berlaku setiap tahun. Pasukan pasti mahu mengkaji bentuk laluan yang akan digunakan dan menilai tahap kecergasan terkini pelumbanya.

“Walaupun kehilangan beberapa nama hebat seperti Jordan Jegat (TotalEnergies) dan Maikel Zijlaard (Tudor Pro Cycling Team), kami mendapat khabar gembira apabila Gaviria disenaraikan, sekali gus mengangkat imej LTdL26 ini.

Emir

“Nama Gaviria dengan koleksi 52 kemenangan dalam kariernya termasuk di Giro dan Tour de France bakal menghangatkan saingan dua penjuru bagi perebutan jersi biru Raja Pecut dengan pelumba XDS-Astana, Matteo Malucelli,” katanya.

Malah Emir tidak menolak kemungkinan akan ada perubahan kecil lain apabila pengurus pasukan masing-masing menghantar senarai muktamad pada mesyuarat pengurus yang akan diadakan 24 jam sebelum Peringkat 1 LTdL26 bermula.

Perubahan lain adalah dari pasukan ProTeam Sepanyol, Burgos Burpellet-BH yang memasukkan tiga pelumba yang diharap mampu menguasai pecutan terakhir iaitu, Daniel Cavia Sanz, 24; Rodrigo Alvarez, 27; dan pelumba Jepun, Tomoya Koyama, 28.

Tiga pelumba yang digugurkan pula adalah pelumba Mongolia, Jambaljamst Sainbayar, Jose Luis Faura dan pakar pecut Greece, Georgios Bouglas.

Turut melakukan rombakan adalah pasukan ProTeam Itali, Bardiani.

CSF 7 Saber yang mengeluarkan nama Andrea Montagner, Manuel Tarozzi dan Marco Manenti, tetapi memberi tugas kepada tiga pelumba muda iaitu dua pakar pecut, Filippo Cettolin, 20; Santiago Ferraro, 19; dan tugas pendaki kepada Mattia Stenico, 19.

Equipo Kern Pharma, pasukan ProTeam Sepanyol yang pernah muncul Pasukan Terbaik LTdL2024, turut melakukan perubahan dengan menggugurkan pakar pecut Marc Brustenga dan pendaki Ivan Cobo, dengan menyenaraikan pendaki muda Ibai Azanza Burusco, 22; dan pelumba Taiwan, Ho Yan Yi, 24.

Pasukan ProTeam Switzerland, Tudor sah menggugurkan pakar pecut Ziljaard tetapi menggantikannya dengan pendaki berusia 22 tahun, Robin Donze yang pernah mencatat keputusan tangga kelapan Kejohanan Dunia B-23 tahun lalu.

Pasukan ProTeam lain yang melakukan perubahan kecil adalah TotalEnergies yang tidak menyenaraikan pendaki handalan, Jegat tetapi menghantar pendaki yang dilamar Astana musim depan, Nicolas Breuillard, 26.

Breuillard cemerland dengan keputusan kelima GC di Tour of Turkiye dan Czech Tour pada tahun ini, selain menimba pengalaman berkayuh di Tour de France dengan menduduki tangga ke-50 GC termasuk tempat kelapan Peringkat 8 Malemort-Ussel.

Beberapa pasukan Benua turut melakukan rombakan kecil seperti 7-Eleven Cliqq Roadbike Philippines yang menyenaraikan pendaki dari Ireland, Cormac McGeogh untuk menggantikan pelumba New Zealand, James Steven Kreanich serta Bradley Scott Perkin dari Britain yang menggantikan pelumba Australia, Matthew Sherwin.

Pasukan Benua Korea Selatan, KSPO menyenaraikan dua pelumba, Kim Yong Joo dan Je Hwanhui bagi menggantikan Kim Gukhyun dan Kim Jinwoon; manakala pasukan Benua Jepun, Aisan Racing Team menggantikan Hayato Tobaru dengan George Matsui.

Pasukan Benua negara, Terengganu Cycling Team (TSG) juga menggantikan pakar pecut dari Perancis, Pierre Barbier dan meletakkan tenaga muda tempatan, Kee Zhe Yie yang berkayuh untuk skuad kebangsaan pada edisi lalu.

Satu lagi pasukan Benua negara, Malaysia Pro Cycling Team (MPC) dan skuad kebangsaan Malaysia mengesahkan senarai akhir enam pelumbanya selepas menamatkan sesi pemilihan terakhir masing-masing.

MPC yang akan dipimpin juara kebangsaan 2026, Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil akan disertai Muhammad Iqbal Daniel Nawawi; Muhammad Syawal Mazlin; Muhammad Iqmal Zarawi; Muhammad Adam Danish Afdzal; dan pelumba kelahiran Filipina, Erickson Lopez.

Skuad kebangsaan Malaysia pula memuktamadkan pemilihan dengan menurunkan ketua pasukan Muhammad Zawawi Azman, Chan Jian Le; Muhammad Adam Hakimi Nazuan; Muhammad Yusri Shaari; Muhammad Zahin Wahii dan pelumba muda, Tsen Ren Han yang juga adik kepada pelumba St George Continental Cycling Team, Tsen Ren Bao.

LTdL26 yang berstatus 2.ProSeries akan bermula dengan Peringkat 1 Shah Alam-Kampar pada Ahad ini dan berakhir dengan Peringkat 8 Muar-Putrajaya, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5km.

Jelajah yang memasuki edisi ke-30 ini dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here