MELAKA – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 berpotensi menyaksikan sehingga 100 calon bertembung di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) gagal mencapai persetujuan pembahagian kerusi dan memilih bergerak secara solo.
Jumlah itu berdasarkan senario BN, PH dan PN masing-masing meletakkan calon di kesemua 28 kerusi, selain 16 calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang telah diumumkan sebelum ini.
Setakat ini, belum ada gabungan utama memuktamadkan keseluruhan pembahagian kerusi atau bentuk kerjasama selepas DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa semalam.
BN, PH dan PN masih membuka ruang rundingan, manakala Bersama telah memutuskan untuk bertanding secara bersendirian di 16 kerusi.
Rundingan BN dan Pas pula menunjukkan perkembangan positif, namun BN menetapkan ‘garis sempadan’ dengan mahu mengekalkan 21 kerusi yang dimenanginya pada PRN 2021.
PH pada masa sama masih berunding dengan Bersatu bagi kemungkinan membentuk kerjasama PH Plus, manakala DAP pula sebelum ini menyatakan hasrat bertanding lapan kerusi, termasuk empat kerusi yang kini disandangnya.
Sekiranya rundingan antara blok-blok utama gagal dan masing-masing bergerak sendiri, 28 kerusi itu berpotensi menyaksikan pertembungan melibatkan BN, PH, PN dan Bersama, selain kemungkinan penyertaan parti lain atau calon Bebas.
Pada PRN 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi, terdiri daripada 18 kerusi UMNO, dua MCA dan satu MIC.
PH pula menguasai lima kerusi menerusi DAP (empat) dan Amanah (satu), manakala PN memenangi dua kerusi menerusi Bersatu.
Sebagai perbandingan, PRN Melaka 2021 menyaksikan 112 calon bertanding di 28 kerusi, dengan semua DUN mempunyai sekurang-kurangnya pertandingan tiga penjuru.
Dengan tempoh pilihan raya perlu diadakan dalam masa 60 hari selepas pembubaran DUN, jumlah sebenar calon hanya akan diketahui selepas proses penamaan calon selesai. – MalaysiaGazette















