Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mempertikai kenyataan media tujuh halaman Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berhubung krisis institusi beraja di negeri berkenaan.

Menurut Tengku Zafrul, kenyataan panjang lebar tersebut masih gagal menjawab soalan paling asas mengenai pendirian dan jaminan integriti Menteri Besar itu sendiri.

“Sebelum bercakap panjang mengenai adat, Perlembagaan, mandat rakyat dan bidang kuasa, Ismail perlu memperjelaskan lima soalan asas yang perlu dijawab.

“Betulkah anda dipaksa menandatangani proklamasi pada 3 Ogos? Jika benar, siapa yang memaksa anda?

“Jika pada 6 September anda masih menyatakan sokongan penuh dan taat setia kepada Tuanku Muhriz dan pada 9 September mendakwa proklamasi itu ditandatangani secara paksaan, apa yang berubah sehingga Exco pada 15 September mengambil pendirian bahawa proklamasi itu sah?” soalnya menerusi hantaran di Facebooknya.

Ismail Lasim dalam sidang akhbar hari ini. – Foto Facebook

Selain itu, Tengku Zafrul turut meminta penjelasan apakah yang menyebabkan perubahan pendirian itu.

“Adakah anda juga dipaksa seperti mana dakwaan anda semasa menandatangani proklamasi? Jika terdapat tekanan untuk mengubah pendirian anda, siapa yang terlibat dan siapakah yang anda temui dalam tempoh tersebut?” soalnya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut menggariskan kronologi tindakan Ismail yang mencetuskan persoalan serius apabila pada 3 Ogos beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi berkaitan penurunan takhta Tuanku Muhriz namun pada 6 September menyatakan sokongan penuh dan taat setia kepada baginda.

“Pada 9 September, Ismail tampil mendakwa tandatangan pada proklamasi tersebut dibuat secara paksaan dan telah membuat laporan polis mengenainya.

“Namun tidak sampai 10 hari kemudian, mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dipengerusikan Ismail pada 15 September memutuskan secara sebulat suara bahawa proklamasi berkenaan adalah sah dan berkuat kuasa sebelum meminta proses pewartaan diteruskan.

“Ini bukan persoalan kecil. Seorang Menteri Besar telah mendakwa beliau dipaksa menandatangani dokumen berkaitan kedudukan raja, membuat laporan polis mengenainya dan secara terbuka menyatakan sokongan penuh serta taat setia kepada Tuanku Muhriz,” katanya.

Tambahnya, tidak sampai 10 hari kemudian, kerajaan yang dipengerusikan Ismail mengesahkan proklamasi itu dan meminta proses pewartaannya diteruskan.

“Walaupun kenyataan tujuh halaman Menteri Besar hari ini menegaskan kerajaan negeri tidak menentukan soal takhta dan menyerahkannya kepada institusi berkuasa, ia tetap gagal memberi penjelasan berhubung perubahan sikap Ismail sendiri.

“Datuk Ismail, apa yang sebenarnya berubah? Perkara asas ini perlu dijelaskan dahulu,” tegasnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: Krisis N. Sembilan: Pentadbiran semasa bukan punca, diwarisi kerajaan terdahulu – MB

ARTIKEL BERKAITAN: Ismail mohon arahan larangan kepada bekas Exco N. Sembilan dipertimbang semula

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here