Salah seorang wanita warga Indonesia yang ditahan dalam Operasi Khas di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, Rabu lalu. Gambar: Ihsan JIM.

KUALA LUMPUR – Tujuh warga Indonesia termasuk enam wanita yang dipercayai menjalankan perkhidmatan kecantikan dan estetik secara haram dengan keuntungan mencecah sehingga RM50,000 sebulan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Operasi Khas di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Kesemua suspek yang berusia antara 19 hingga 44 tahun itu dipercayai menawarkan perkhidmatan berkenaan kepada pelanggan tempatan dan warga asing, khususnya warga Indonesia di Lembah Klang, dengan menggunakan premis kediaman yang disewa bagi mengaburi pihak berkuasa.

Operasi pada 23 September lalu itu dijalankan hasil maklumat awam serta risikan selama kira-kira sebulan membabitkan empat lokasi, masing-masing di sekitar Jalan Uranus, Shah Alam; Pandan Perdana serta dua lokasi di Kepong, Kuala Lumpur.

Operasi bermula kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu disertai pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Putrajaya, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dalam serbuan itu, pasukan operasi turut menyita ubat-ubatan, peralatan rawatan dan kecantikan, sebuah telefon bimbit serta wang tunai RM400 yang dipercayai hasil aktiviti berkenaan.

Siasatan mendapati perkhidmatan kecantikan dan estetik itu dipromosikan menerusi media sosial seperti TikTok dan Instagram, manakala pelanggan perlu membuat tempahan terlebih dahulu sebelum mendapatkan rawatan.

Aktiviti berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak tahun lalu dan dijalankan di premis kediaman yang disewa bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Warga asing terbabit dipercayai mempelajari kaedah rawatan estetik di negara asal serta Malaysia sebelum menawarkan perkhidmatan berkenaan kepada pelanggan.

JIM memaklumkan, dua wanita dan seorang lelaki ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Tiga lagi wanita pula ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama, manakala seorang wanita ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Pada masa sama, kesemua warga asing terbabit turut akan disiasat Kementerian Kesihatan (KKM) kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 7(1) dan Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 berhubung pemilikan keluaran yang tidak berdaftar dengan KKM.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

JIM menegaskan, pihaknya akan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here