Suasana terkawal di sekitar Wisma Negeri berikutan pembatalan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri berkuat kuasa serta-merta oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, ketika tinjauan di Seremban, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 25 SEPTEMBER 2026.

SEREMBAN – Tiada sekatan jalan raya dilaksanakan pihak polis di sekitar Wisma Negeri di sini, meskipun lokasi berkenaan menjadi tumpuan susulan kemelut perlembagaan Negeri Sembilan yang membabitkan hubungan antara pihak eksekutif dan Istana Negeri.

Tinjauan MalaysiaGazette sekitar Wisma Negeri sejak kira-kira jam 8.30 pagi mendapati keadaan lalu lintas lancar tanpa sebarang kesesakan atau kawalan jalan raya yang menjejaskan pergerakan orang ramai.

Situasi itu dilihat berbeza dengan kawalan keselamatan di dalam dan sekitar premis kerajaan negeri yang diperkemas susulan perkembangan terkini berkaitan pembatalan pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Suasana terkawal di sekitar Wisma Negeri berikutan pembatalan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri berkuat kuasa serta-merta oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, ketika tinjauan di Seremban, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 25 SEPTEMBER 2026.

Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad memaklumkan PDRM melaksanakan pengurusan akses ke pejabat Wisma Negeri terhadap bekas barisan MMKN selepas pengumuman pembatalan pelantikan mereka oleh pihak Istana Negeri Sembilan.

Menurut beliau, tindakan berkenaan bertujuan memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kelancaran urusan di premis berkenaan terus terpelihara.

PDRM turut menegaskan kawalan akses di lokasi tertentu dilaksanakan berdasarkan penilaian keselamatan semasa dan keperluan pengurusan premis bagi mengelakkan sebarang keadaan yang boleh mencetuskan ketegangan atau menjejaskan ketenteraman awam.

Perkembangan itu berlaku ketika kemelut berkaitan proklamasi bertarikh 19 April lalu yang dikaitkan dengan usaha menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, terus menjadi pertikaian dari sudut perlembagaan dan undang-undang.

Pada masa sama, kawalan akses terhadap bekas Exco di Wisma Negeri dilaporkan dilaksanakan selepas Istana Negeri Sembilan mengumumkan pembatalan pelantikan mereka.

Bagaimanapun, setakat tinjauan MalaysiaGazette pagi ini, tiada sekatan jalan raya dilihat di sekitar Wisma Negeri, manakala pergerakan kenderaan di kawasan berkenaan berjalan seperti biasa.

Keadaan itu memberi gambaran bahawa tumpuan kawalan ketika ini lebih menjurus kepada pengurusan keselamatan dan akses ke premis, bukannya sekatan pergerakan awam di jalan raya.

Sebelum ini PDRM turut memaklumkan penugasan anggota di beberapa lokasi strategik termasuk Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, Balai Undang Luak Sungai Ujong dan kawasan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here