Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir mendengar permohonan menggantung pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion berkaitan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Najib membuat kemunculan pertama selepas menerima pengampunan bersyarat yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah. Foto AIZAT ZAINAL, 25 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak masih tidak mampu untuk membayar denda RM50 juta yang disyaratkan kepadanya bagi menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah berkata, bekas Perdana Menteri itu berasa serba salah kerana beliau tidak mempunyai wang sebanyak itu atas alasan akaun banknya dibekukan kerana pertuduhan jenayah yang dihadapinya.

Menjawab soalan wakil media, beliau berkata, pasukan pembelaan tidak mengetahui jumlah yang telah dikumpul oleh tabung sumbangan yang diusahakan oleh UMNO bagi menjelaskan denda RM50 juta.

“Banyak orang tanya saya, Datuk Seri Najib boleh bayar denda atau tidak. Dia (Najib) serba salah sebab dia sepatutnya bayar, tetapi tiada duit.

“Akaun bank Najib sudah dibekukan termasuk akaun di Affin Bank yang digunakan untuk menerima gaji sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen,” ujarnya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, pasukan pembelaan hadir bagi prosiding pengurusan kes bagi menentukan tarikh pendengaran permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion berkaitan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin menetapkan 14 Oktober ini bagi mendengar permohonan tersebut.

Muhammad Shafee selanjutnya berkata, ramai pihak mengeluarkan sindiran dengan mempersoal kemana perginya wang berbilion-bilion ringgit yang kononnya diberikan kepada Najib.

Peguam menjelaskan, anak guamnya tidak mempunyai wang kerana sebanyak AS$620 juta (iaitu baki daripada AS$681 juta yang didermakan kepadanya), telah dipulangkan semula selepas pilihan raya umum.

“Jadi kalau orang tanya ke mana wang berbilion-bilion yang kononnya diterima Najib, itu adalah soalan yang bodoh,” ujar beliau.

Pada 18 September lalu, Najib mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat pembayaran denda RM50 juta.

Najib hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya tidak mematuhi mana-mana syarat-syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat berkenaan terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here