KUALA LUMPUR – Pasukan peguam Datuk Seri Najib Razak menyifatkan cadangan supaya kediaman bekas Perdana Menteri dipasang kawat duri dan lampu sorot untuk disesuaikan sebagai tahanan rumah, sebagai tidak munasabah.
Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah turut berkata, idea supaya menempatkan pasukan bersenjata bagi mengawal kediaman tersebut, merupakan tindakan yang tidak masuk akal.
Menurut beliau, pelaksanaan tahanan rumah sepatutnya membolehkan seseorang menjalani kehidupan secara normal tanpa menimbulkan masalah.
“Kenapa perlu dipasang kawat duri, lampu sorot, bina rumah pengawal bersenjata? Cadangan itu tidak masuk akal kerana ia tidak selari dengan rasional pelaksanaan tahanan rumah,” ujarnya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Dalam perkembangan berlainan, Muhammad Shafee turut menyifatkan ulasan yang dibuat oleh pelbagai pihak berhubung isu tahanan rumah, merupakan spekulatif semata-mata.
Menurut beliau, pasukan pembelaan tidak melayan pertanyaan wakil media kerana pihaknya mempunyai pengetahuan yang terhad serta masih menunggu maklum balas pihak berwajib.
Ujar peguam itu, namun terlalu banyak pihak yang mengaku pakar (armchair expert) yang membuat pelbagai kenyataan yang bersandarkan kepada alasan yang mengejutkan serta tidak logik.
“Kalau anda membaca komen atau artikel dalam media sosial, pihak-pihak yang berkenaan memberi kenyataan seolah-olah mereka pakar, walhalnya merapu.
“Jadi kalau anda minta saya membuat kenyataan berdasarkan benda-benda yang merapu, saya tidak dapat melakukannya kerana ini terlalu spekulatif,” ujar beliau.
Terdahulu, pasukan pembelaan hadir bagi prosiding pengurusan kes bagi menentukan tarikh pendengaran permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion berkaitan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin menetapkan 14 Oktober ini bagi mendengar permohonan tersebut.
Pada sidang media itu, Muhammad Shafee turut ditanya mengapa permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda dikemukakan selepas sembilan bulan Mahkamah Tinggi menyampaikan keputusannya pada 26 Disember tahun lalu.
Beliau menjelaskan, permohonan penggantungan tidak dikemukakan ketika itu kerana Najib sedang menjalani hukuman untuk kes SRC International.
“Kita masukkan permohonan penggantungan (stay) kerana kini terdapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dengan syarat perlu membayar denda RM50 juta.
“Kalau Najib dapat bayar RM50 juta, beliau masih terkongkong dengan hukuman penjara kes 1MDB (yang perlu dijalani selepas kes SRC International). Sebab itu kami fail stay sekarang, kalau ada stay tapi tak boleh keluar, buat apa?” katanya. – MalaysiaGazette
















