KUALA LUMPUR – Kira-kira 25 penumpang terjejas selepas pintu masuk Stesen Anak Bukit terlambat dibuka awal pagi tadi, menyebabkan mereka tidak dapat menaiki dua perkhidmatan KTM Komuter yang dijadualkan berlepas pada pukul 5.58 pagi dan 6.18 pagi.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Stesen Anak Bukit sepatutnya mula beroperasi pada pukul 5.30 pagi.
Bagaimanapun, katanya, kakitangan yang dijadualkan bertugas untuk membuka stesen berkenaan tidak dapat melapor diri pada waktu ditetapkan atas faktor kesihatan.
Menurut KTMB, pihaknya dimaklumkan kira-kira jam 5.55 pagi bahawa pintu masuk stesen masih belum dibuka.
“Pegawai bertugas telah cuba menghubungi kakitangan berkenaan namun tidak berjaya.
“Tindakan segera kemudiannya diambil dengan mengarahkan seorang kerani kaunter dari stesen berhampiran yang dijadualkan bertugas pada jam 7 pagi untuk hadir lebih awal ke Stesen Anak Bukit,” menurut kenyataan itu.
Kakitangan berkenaan tiba kira-kira pukul 6.30 pagi dan pintu masuk utama stesen kemudiannya dibuka.
KTMB berkata, berdasarkan semakan awal, kira-kira 25 penumpang terjejas dan tidak dapat menaiki Tren 2901 serta Tren 2903 yang masing-masing dijadualkan berlepas dari Stesen Anak Bukit pada pukul 5.58 pagi dan 6.18 pagi.
“KTMB memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas atas kesulitan yang berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, KTMB memandang serius kejadian tersebut kerana akses ke stesen perlu tersedia mengikut waktu operasi yang ditetapkan, khususnya bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang yang menggunakan perkhidmatan awal pagi.
KTMB berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan prosedur yang ditetapkan.
KTMB turut menegaskan komitmennya untuk memastikan aspek keselamatan, keselesaan dan kepentingan penumpang sentiasa menjadi keutamaan. – MalaysiaGazette
















