Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

JEMPOL – Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jempol di Negeri Sembilan bakal menjadi sekolah aliran agama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertama negara.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata sekolah berkenaan dibina dengan kos RM98 juta di atas tapak seluas 14.22 hektar bagi tempoh tiga tahun menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Kalau sebelum ini TVET hanya di Kolej Vokasional ataupun sekolah-sekolah biasa, tapi kita akan bawa model TVET ini ke SMKA ini. Jadi SMKA Jempol, insya-Allah akan menjadi SMKA pertama menggunakan ataupun membawa model sekolah agama TVET.

“Saya berharap projek ini dapat disiapkan ikut tempoh ditetapkan dan kita boleh segera bangunkan pendidikan TVET memenuhi keperluan bukan sahaja keperluan industri, tetapi juga keperluan negara ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jempol di sini, hari ini.

Fadhlina berkata sekolah berasrama penuh itu dilengkapi dengan blok pentadbiran dan akademik dengan 25 bilik darjah, selain makmal, bengkel, perpustakaan, dewan, kantin dan surau, kemudahan lain, serta asrama yang boleh memuatkan 720 murid.

Dalam pada itu, beliau berkata pelajar sekolah agama di negara ini juga digalakkan untuk menguasai pelbagai bahasa sebagai medium penting memperkukuh agenda dakwah yang lebih berkesan.

Mengambil contoh SMKA Sheikh Tahir Jalaluddin di Pulau Pinang yang diangkat sebagai “Sekolah Dakwah” pertama di Malaysia, Fadhlina berkata pelajarnya diberi pendedahan menguasai bahasa Cina, Tamil, Inggeris dan Arab di samping bahasa Melayu.

“Anak-anak sekolah agama ini dah pastinya mereka akan menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Dalam masa yang sama, mereka juga mesti diberikan penekanan tentang bahasa-bahasa lain.

“Kita melihat ada keupayaan anak-anak ini untuk menguasai lebih daripada satu bahasa. Bahasa adalah antara lenggok yang mesti dikuasai untuk menyampaikan soal-soal yang terkait dengan dakwah, dan penerangan-penerangan tentang Islam secara lebih berkesan,” katanya.

Fadhlina berkata kementerian juga memberikan penekanan terhadap pembentukan sahsiah, nilai amanah dan integriti dalam kalangan murid bagi mempersiapkan mereka menghadapi cabaran semasa.

Beliau berkata pendidikan tidak seharusnya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya merangkumi pembangunan intelektual, pembudayaan membaca serta pemupukan kepimpinan berintegriti.

“Soal menolak rasuah dan mempertahankan kepimpinan yang bersih perlu dididik serta diberi penekanan sejak awal.

“Sebab itu di sekolah agama, kita ada program khas seperti Nadwah Kepimpinan Islam yang diharapkan mampu melahirkan barisan pemimpin masa depan, khususnya pemimpin Islam berkarakter dan berpegang teguh kepada nilai agama,” katanya.

Beliau berkata pembangunan institusi pendidikan agama bukan sekadar melibatkan pembinaan prasarana fizikal, sebaliknya turut bertujuan membentuk nilai kemanusiaan dalam diri murid supaya mereka menjadi generasi berprinsip, serta mampu menyumbang kepada masyarakat. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here