KUALA LUMPUR – Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menasihatkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir agar bermuhasabah, merendah hati dan menerima hakikat bahawa beliau telah diturunkan takhta.
Sehubungan itu, mereka meminta Tuanku Muhriz berundur secara terhormat.
“Pemakluman rasmi berkenaan penurunan takhta Tunku Muhriz Tuanku Munawir dan pemilihan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12 telah pun dibuat oleh Kerajaan Negeri Sembilan.
“…melalui pemakluman rasmi Kerajaan Negeri Sembilan kepada Majlis Raja-Raja tersebut, maka hanya Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar yang mempunyai kuasa sah untuk menjalankan segala fungsi Yang di-Pertuan Besar menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) 1959 termasuk menghadiri segala persidangan Majlis Raja-Raja,” kata mereka menerusi satu kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Dato’ Klana Petra Datuk Mubarak Thahak, Undang Luak Sungei Ujong: Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman, Datuk Maarof Mat Rashad, Undang Luak Jelebu; Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Datuk Muhammed Abdullah;Ā Undang Luak Johol, Datuk Sedia Raja Datuk Abdul Rahim Yasin, Undang Luak Rembau dan Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri, Tunku Besar Tampin.
Dalam kenyataan hari ini, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin juga menyeru rakyat Negeri Sembilan supaya kekal tenang dan menghormati proses peralihan kuasa yang sedang berlangsung selepas menegaskan krisis adat serta pemerintahan negeri itu telah diselesaikan menerusi penyempurnaan Proklamasi Perkara 10 UUTKNS.
Sehubungan itu, mereka meminta semua pihak termasuk penjawat awam negeri perlu mematuhi ketetapan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan memberikan taat setia kepada Raja Pemerintah yang mereka iktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12, Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkanĀ proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz telah disempurnakan mengikut Perkara 10(2) UUTKNS 1959, selain mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Bagaimanapun, isu berkenaan menjadi pertikaian melalui kenyataan bahawa pemasyhuran Tuanku Nadzaruddin pada Jun lalu tidak diiktiraf di bawah undang-undang, adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan.
Dalam kenyataan terbaharu itu, Undang Yang Empat menegaskan kuasa pemerintahan negeri hendaklah dijalankan atas nama Raja, selaras dengan Perkara 35 UUTKNS 1959.
Perkara 35(1) memperuntukkan bahawa kuasa pemerintahan Negeri Sembilan tertakluk kepada Raja dan boleh dijalankan oleh Yang Maha Mulia, Majlis Mesyuarat Kerajaan atau mana-mana anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan yang diberi kuasa.
Sementara Perkara 35(2) pula menyatakan segala kuasa pemerintahan negeri hendaklah dijalankan dengan tegasnya atas nama Raja.
Undang Yang Empat menegaskan ketetapan berhubung kedudukan Raja Pemerintah serta pentadbiran negeri perlu dihormati bagi memastikan urusan pemerintahan dan kepentingan rakyat Negeri Sembilan terus berjalan dengan teratur. – MalaysiaGazette















