PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyerahkan notis kepada bekas menteri Kabinet, Datuk Seri M. Saravanan, isteri dan tiga anaknya pada Isnin ini bagi tujuan pengisytiharan harta berhubung kes rasuah yang sedang dihadapinya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, notis berkenaan akan diserahkan di ibu pejabat SPRM pada jam 9.30 pagi.
Beliau berkata, penyerahan notis itu bagi tujuan pengisytiharan harta dan bukan untuk mengambil keterangan daripada Saravanan atau ahli keluarganya.
Notis itu dikeluarkan di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2008 dan tempoh 30 hari juga diberikan,” katanya dalam sidang media selepas Penutupan Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 Tahun 2026, hari ini.
Abd Halim berkata, lanjutan tempoh boleh dipertimbangkan sekiranya permohonan dikemukakan.
“Notis itu dikeluarkan mengikut Seksyen 36 dan tempoh 30 hari juga diberikan. Sekiranya tempoh tersebut tidak dipatuhi, masa akan diberikan jika mereka memohon,” katanya.
Beliau berkata, Saravanan bersama isteri dan tiga anaknya telah dimaklumkan mengenai penyerahan notis tersebut dan dijangka hadir ke ibu pejabat SPRM pada Isnin ini.
Difahamkan Saravanan akan hadir bersama isteri dan dua anaknya manakala akan berbuat demikian pada November kerana masih belajar di London.
Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, atas tiga pertuduhan menerima suapan RM1.097 juta, empat tahun lalu.
Mahkamah membenarkan ahli politik itu diikat jamin RM450,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM setiap tiga bulan sekali dan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan sama ada secara sendiri atau pihak ketiga.
Dalam pada itu, Abd Halim berkata, pihaknya belum menerima notis pengisytiharan harta oleh bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim.
“Kita serahkan notis pada 15 September, jadi tempoh 30 hari belum habis lagi,” katanya.
Sebelum ini, SPRM telah menyerahkan notis kepada Azeez dan ahli keluarganya supaya mengisytiharkan harta masing-masing dalam tempoh sebulan.
Abd Halim berkata pihaknya menyerahkan notis berkenaan kepada Azeez, ahli keluarga termasuk anak-anaknya minggu ini mengikut peruntukan undang-undang.
Menurutnya, borang tertentu turut diberikan kepada pihak terbabit bagi tujuan pengisytiharan dan pelaporan harta kepada SPRM. – MalaysiaGazette















