Mohamad Nizar Najib

PEKAN – “Adatlah dalam politik, tak dapat puaskan hati semua orang.”

Itu ulasan anak sulung kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengenai tohmahan dan kritikan dilemparkan segelintir pihak terhadap Tabung Solidariti Najib Razak.

Menurut Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib, beliau dan keluarga bagaimanapun tetap bersyukur dengan sambutan dan sumbangan yang dihulurkan.

“Mungkin ramai yang tak setuju, kata macam-macam, tohmahan dan beri macam-macam nama. Tapi bagi saya, jasa itu tetap ada. Kalau tidak, mana mungkin mereka nak menyumbang ke tabung ini kalau tiada jasa langsung.

“Rupa-rupanya ramai juga rakyat Malaysia yang masih sayangi ayahanda dan tergerak hati untuk membantu, masih ingat kepada ayahanda walaupun sudah empat tahun di sebalik tirai besi,” katanya ketika sidang media khas UMNO Bahagian Pekan, di sini.

Mohamad Nizar Mohamad Najib (dua dari kiri) menerima gimik penyerahan kutipan dana tabung solidariti Najib daripada Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff di Pekan

Sidang media terbabit dibuat sebelum Mesyuarat Biro Politik UMNO Bahagian Pekan yang dipengerusikan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Mengulas lanjut, Nizar yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan  mengakui jumlah denda RM50 juta sebagai syarat tahanan rumah yang dihadapi bapanya itu sangat besar dan memerlukan masa panjang untuk dilunaskan.

“Kalau aset tidak dibekukan, mungkin boleh membantu sedikit sebanyak untuk dapatkan jumlah tersebut. Tapi hakikatnya masih banyak lagi perlu diusahakan untuk kita dapatkan jumlah itu,” katanya lagi.

Sementara itu, Mohammad Fakhruddin memaklumkan, ahli UMNO Pekan berjaya mengumpul lebih RM36,000 sejak tabung kutipan dana itu dilancarkan.

Katanya, wang kutipan tersebut akan diserahkan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang untuk dikumpul di peringkat Pusat.

“Setakat ini kita memang tumpukan untuk membuat kutipan, selain kita juga sarankan di bahagian DUN untuk mengadakan solat syukur, tanda terima kasih atas apa yang dikurniakan kepada kita ini supaya sentiasa dipermudahkan segala urusan Datuk Seri Najib,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here