Masoud Pezeshkian. Foto IRNA

NEW YORK – Amerika Syarikat (AS) perlu membuat pilihan sama ada mahu menamatkan perang dengan Iran kerana Tehran tidak mahu meneruskan pertempuran, kata Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dalam satu wawancara televisyen.

Pezeshkian mengambil pendirian tegas ketika berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari Rabu selepas berkunjung ke New York, dengan menegaskan Iran tidak akan “tunduk” kepada Washington, walaupun Presiden AS, Donald Trump mengakui rundingan antara kedua-dua negara masih berlangsung.

“Apabila kita boleh menyelesaikan isu melalui dialog, kita tidak sepatutnya menggunakan pembunuhan sesama sendiri. Tetapi dengan hasutan yang dilakukan Israel, mereka telah mengenakan perang ini terhadap kami.

“Namun, kami tidak mahu meneruskannya. Amerika yang perlu memilih sama ada mahu menamatkan perkara ini atau tidak,” katanya dalam program Fox News, “Special Report with Bret Baier”.

Pezeshkian menegaskan Iran bersedia mencapai perjanjian dengan Trump bagi menamatkan konflik tersebut.

“Kenapa dalam tempoh dua minggu selepas perjanjian ditandatangani, mereka memilih untuk memusnahkannya?” katanya ketika mengulas kegagalan gencatan senjata yang rapuh sebelum ini.

Beliau berkata, Iran bersedia mencapai persetujuan sekiranya pentadbiran AS ketika ini mahu berbuat demikian berdasarkan kerangka undang-undang antarabangsa.

“Jika kerajaan Amerika sekarang mahu mencapai perjanjian dalam kerangka undang-undang antarabangsa, baiklah. Jika tidak, sebelum pilihan raya pertengahan penggal AS atau selepas pilihan raya, apa bezanya bagi kami?” katanya.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi turut menyertai pertemuan dengan utusan khas Trump, Steve Witkoff dan menantunya, Jared Kushner, di luar Perhimpunan Agung PBB di New York.

Bagaimanapun, rundingan itu setakat ini belum menghasilkan perkembangan besar.

Di tengah-tengah keganasan yang memuncak antara gerakan Houthi di Yaman yang didakwa mendapat sokongan Iran, Pezeshkian menegaskan bahawa pihak Houthi tidak menerima arahan daripada kerajaan Tehran.

Washington dan sekutunya termasuk Arab Saudi serta kerajaan Yaman yang disokong Riyadh menuduh Iran menyokong kumpulan Houthi yang melancarkan serangan peluru berpandu balistik ke arah kerajaan itu dan bertempur dengan pasukan yang disokong Riyadh bagi menguasai Yaman.

“Houthi bertanggungjawab terhadap tindakan mereka sendiri. Mereka tidak menerima arahan daripada kami sebagai pihak yang menentang (kuasa asing) di rantau ini, berdasarkan situasi yang dikenakan terhadap mereka.

“Kami mempunyai hubungan dengan mereka. Tiada hubungan yang sistematik,” katanya.

Arab Saudi memintas peluru berpandu balistik Houthi pada hari Khamis selepas mengeluarkan amaran kepada beberapa kawasan termasuk Makkah.

Houthi sebelum ini mengenakan sekatan laut terhadap Arab Saudi, menyerang kapal tangki dan wilayah negara itu serta menguasai sebahagian besar pantai Laut Merah Yemen yang penting bagi eksport minyak Arab Saudi.

Perkembangan itu turut mengukuhkan pengaruh Iran dan sekutunya ke atas dua laluan air yang menjadi kebergantungan negara-negara Teluk, termasuk pengeksport minyak mentah terbesar dunia, Arab Saudi, untuk mengeksport minyak dan produk bahan api lain. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here