KUALA LUMPUR – BMW Motorrad Malaysia memperkenalkan varian terbaharu BMW R 1300 GS yang kini dilengkapi sistem automated shift assistant (sistem bantuan pertukaran gear automatik, ASA), sekali gus menawarkan pengalaman tunggangan lebih mudah dan selesa.
Model ini sebelum ini diperkenalkan di pasaran tempatan pada Malaysia Autoshow 2024 dan terus menjadi antara model utama dalam segmen motosikal adventure touring.
Menurut BMW Motorrad Malaysia, ASA diperkenalkan sebagai sebahagian daripada Pakej Dynamic yang dipertingkatkan, bersama pelarasan suspensi dinamik, bantuan pertukaran gear pro, mod tunggangan pro dan brek sukan.

Sistem ASA mengautomatikkan kawalan klac dan pertukaran gear bagi memudahkan penunggang ketika memulakan perjalanan, berhenti serta melakukan olah gerak tanpa perlu mengendalikan klac secara manual.
Penunggang juga boleh memilih antara pertukaran gear secara manual atau automatik sepenuhnya mengikut gaya tunggangan dan keadaan jalan.
Dalam mod “M”, penunggang memilih gear menggunakan tuil pertukaran gear kaki manakala sistem ASA mengawal klac secara automatik.
Sementara itu, mod “D” membolehkan pertukaran gear dilakukan sepenuhnya secara automatik berdasarkan kelajuan enjin dan beban bagi menghasilkan tunggangan lebih lancar.
Selain ASA, BMW R 1300 GS terbabit dilengkapi Pakej Touring yang merangkumi persediaan pemasangan peranti GPS, sistem penguncian berpusat, pelindung tangan tambahan serta pemegang beg sisi kiri dan kanan.

Pakej Comfort pula merangkumi kit penumpang, cermin pengadang angin boleh laras secara elektrik dan penyangga tengah manakala pelarasan ketinggian adaptif, lampu utama deluxe dan bateri ringan M ditawarkan sebagai kelengkapan standard.
Model itu ditawarkan dalam warna White Aluminium Metallic, iaitu warna baharu bagi model berkenaan, serta Black Storm Metallic.
Dari segi prestasi, BMW R 1300 GS dikuasakan enjin boxer dua silinder berkapasiti 1,300cc yang menghasilkan kuasa maksimum 107 kW (145 hp) pada 7,750 rpm dan tork maksimum 149 Nm pada 6,500 rpm.
BMW Motorrad menyifatkan enjin itu sebagai enjin boxer paling berkuasa yang pernah dihasilkan secara bersiri oleh syarikat berkenaan.
Dengan konfigurasi kompak serta kotak gear yang ditempatkan di bawah enjin, motosikal berkenaan mempunyai berat keseluruhan 237 kilogram.
Menurutnya, menerusi pelan pembiayaan BMW Group Financial Services Malaysia, BMW R 1300 GS dengan ASA ditawarkan dengan ansuran bulanan bermula RM2,048.
Anggaran itu berdasarkan pembiayaan straight line pada kadar tetap 4.50 peratus, pembiayaan 90 peratus dan tempoh tujuh tahun.
Pemilik turut ditawarkan manfaat Program Minyak Enjin Premium, servis inklusif dan lanjutan waranti oleh BMW Motorrad Malaysia.
Harga jualan BMW R 1300 GS dengan Automated Shift Assistant ialah RM145,000, atas jalan termasuk Program Waranti Tiga Tahun dan Program Bantuan Tepi Jalan tiga tahun tetapi tidak termasuk insurans. – MalaysiaGazette

















