KUANTAN – Seorang wanita tempatan berusia 50 tahun yang bekerja sebagai pekebun dan peniaga produk pertanian di Cameron Highlands kerugian RM1.15 juta selepas menjadi mangsa sindiket love scam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, mangsa pada mulanya berkenalan dengan seorang individu dikenali sebagai Siew Gui Lim @ Jason melalui aplikasi WhatsApp pada 17 Julai lalu ketika berada di Ringlet, Cameron Highlands.
Menurutnya, suspek kemudian menyamar sebagai seorang pengarah dan konsultan siber sekuriti sebelum menawarkan pelaburan emas kepada mangsa dengan menjanjikan keuntungan.
“Selepas mangsa membuat bayaran berkaitan pelaburan tersebut, suspek memperkenalkan pula platform Veniec Lottery yang didakwa sebagai usaha untuk mendapatkan semula wang pelaburan.
“Mangsa kemudiannya dipujuk membuat beberapa deposit bagi mendapatkan keuntungan dan bonus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sepanjang tempoh berkenaan, mangsa membuat pelbagai transaksi ke tujuh akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM1,150,034.70.
Mangsa turut diminta membuat bayaran tambahan termasuk risk guarantee lapan peratus berjumlah RM243,121.70 dan service fee lima peratus sebanyak RM151,951.10 yang kononnya diperlukan bagi tujuan pengeluaran wang.
“Bagaimanapun, mangsa gagal mengeluarkan wang tersebut sebelum menyedari dirinya telah menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Azry Akmar berkata, kerugian keseluruhan mangsa melibatkan wang simpanan sendiri selain pinjaman daripada ahli keluarga.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan individu yang menggunakan hubungan persahabatan atau hubungan istimewa untuk memujuk mangsa membuat pelaburan atau menyerahkan wang.
“Orang ramai dinasihatkan membuat semakan terlebih dahulu terhadap kesahihan mana-mana tawaran pelaburan sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
“Selain itu, semak nombor akaun dan nombor telefon melalui platform Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi,” katanya.
Mereka yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau membuat laporan polis. – MalaysiaGazette
















