MELAKA – Sekolah vernakular sepatutnya hanya menjadi komponen dalam sistem pendidikan kebangsaan dan bukan diwujudkan dalam bentuk sekolah berasingan seperti diamalkan ketika ini.
Pakar Bahasa dan Perpaduan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, sistem satu aliran perlu diberi perhatian sebagai pendekatan untuk membina sebuah negara bangsa, dengan mengambil sistem pendidikan Singapura sebagai antara contoh.
Menurutnya, elemen vernakular masih boleh dikekalkan dalam sistem pendidikan namun tidak dalam bentuk sekolah yang berasingan mengikut aliran bahasa.
“Bagi saya, untuk unsur ataupun elemen vernakular ini, ia hanya boleh wujud dalam bentuk komponen sahaja dalam sistem pendidikan kita. Tak boleh wujud dalam bentuk sekolah seperti yang ada sekarang.
“Apabila elemen vernakular itu wujud dalam bentuk sekolah rendah, sehingga sekitar 2,000 buah sekolah maka saya kira ini adalah satu masalah besar dalam sistem pendidikan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada Musyawarah Nasional: Membongkar Polemik Tanah Melayu 3.0 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh di sini hari ini.
Ia dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh
Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, sistem pendidikan yang mengutamakan satu aliran menurutnya lebih sesuai bagi pembentukan negara bangsa kerana membolehkan semua murid mengikuti sistem pendidikan yang sama.
“Di mana-mana pun, sistem pendidikan yang dikira afdal untuk membina negara bangsa ialah sistem satu aliran, dan ini berlaku di Singapura,” katanya.
Menurutnya, Singapura turut membenarkan masyarakat Cina mengekalkan identiti budaya mereka, namun sistem pendidikan negara itu tidak menyediakan sekolah vernakular secara berasingan.
“Di Singapura hanya ada sekolah satu aliran dan vernakular itu dimasukkan sebagai komponen sahaja, tak boleh dalam bentuk sekolah.
“Jadi, saya kira kita harus bergerak ke arah itulah tetapi sayangnya apabila kita sebut sahaja tentang gagasan sekolah satu aliran ini, masyarakat kita akan berpecah untuk seketikalah.
“Ada serang-menyerang antara kelompok yang menyokong sekolah satu aliran dan kelompok yang tidak menyokong sekolah satu aliran,” katanya.
Beliau berkata, cadangan sekolah satu aliran bagaimanapun bukan perkara baharu malah pernah mempunyai peluang untuk dilaksanakan selepas tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
Katanya, ketika negara berada dalam keadaan darurat dan ditadbir Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), peluang berkenaan sepatutnya digunakan untuk menyusun sistem pendidikan kepada satu aliran.
“Saya kira tuan-tuan dan puan-puan, untuk sekolah satu aliran ini, kita sudah kehilangan peluang itu. Sepatutnya selepas rusuhan kaum 13 Mei, negara berada dalam keadaan darurat, negara ini diperintah oleh MAGERAN, waktu itu kita mengadakan sekolah satu aliran.
“Tapi sayang sekali, kita tidak mengadakan sekolah satu aliran,” katanya.
Kok Seong berkata, gagasan itu masih boleh diketengahkan namun mengakui pelaksanaannya berdepan cabaran besar dalam landskap politik semasa.
“Kita cuba membawa gagasan ini, saya kira agak mustahillah. Saya kira kerajaan mana-mana yang memerintah pun tak beranilah mengadakan sekolah satu aliran ini,” katanya.
Katanya, isu tersebut perlu dilihat dalam konteks lebih luas berkaitan pembentukan identiti nasional dan perpaduan masyarakat. – MalaysiaGazette
















