KUALA LUMPUR – Jika pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan sudah dibatalkan berkuat kuasa 20 September tetapi mereka masih bekerja dan menjalankan tugas, adakah kerajaan negeri yang diteruskan bersama mereka boleh digelar sebagai ‘kerajaan haram’?
Itu persoalan yang dibangkitkan Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad selepas Peguam Negara hari ini mengesahkan pembatalan pelantikan berkenaan adalah sah.
“Sekiranya mereka masih berdegil dan jalankan tugas atau masih nikmati segala kemudahan sebagai Exco, atas kapasiti apa mereka buat begitu?
“Kalau masih meneruskan kerajaan bersama Exco sama, adakah boleh digelar ‘kerajaan haram’?” soalnya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Saifuddin berkata, persoalan itu menjadi lebih ketara apabila mengambil kira kronologi selepas pembatalan pelantikan tersebut.
Menurutnya, pembatalan itu berkuat kuasa pada 20 September, namun kesemua Exco berkenaan masih masuk kerja pada 22 September, manakala warta berkaitan pembatalan itu diterbitkan pada 24 September.
“Jadi kalau pembatalan sudah berkuat kuasa 20 September, apa status mereka apabila masuk kerja pada 22 September?
“Dan hari ini Peguam Negara sudah sahkan pembatalan itu sah. Kalau mereka teruskan juga sebagai Exco, apa maksudnya?,” soalnya.
Beliau berkata, perkara itu bukan lagi sekadar soal pertikaian politik tetapi menyentuh persoalan kuasa serta kesahan tindakan yang dibuat oleh mereka selepas tarikh pembatalan.
“Kalau sudah tidak ada pelantikan, bagaimana masih boleh menjalankan fungsi sebagai Exco?
“Kalau masih ada kuasa untuk menjalankan tugas, dari mana datangnya kuasa itu?,” tegasnya.
Pembatalan pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan sah – Peguam Negara
Saifuddin turut mempersoalkan sekiranya mereka masih menikmati kemudahan dan keistimewaan yang datang bersama jawatan berkenaan.
“Kalau masih nikmati segala kemudahan sebagai Exco, atas dasar apa? Pelantikan sudah dibatalkan, jadi kedudukan itu mesti jelas,” katanya lagi.
Menurut beliau, sebarang keputusan yang dibuat selepas 20 September juga boleh menimbulkan persoalan sekiranya ia dibuat atas kapasiti Exco yang pelantikannya sudah dibatalkan.
“Kita perlu tahu siapa yang sah memegang jawatan, siapa yang sah membuat keputusan dan atas kuasa apa keputusan itu dibuat.
“Kalau kerajaan masih berjalan dengan orang yang pelantikannya sudah dibatalkan, rakyat berhak bertanya apa sebenarnya status kerajaan itu,” katanya.
Saifuddin berkata, perkara berkenaan perlu dilihat berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan bukan semata-mata pendirian politik mana-mana pihak.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar hari ini mengesahkan pembatalan pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah sah.
Pembatalan itu berkuat kuasa pada 20 September lalu, manakala warta berkaitan diterbitkan pada 24 September. – MalaysiaGazette

















Apa benda lah kau ni..dah kalah teruk masih nak menyalak
..tak boleh move on kaaa