KUANTAN – Sebanyak 83 serbuan telah dijalankan polis daerah Kuantan ke atas premis-premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian haram dan menahan 95 individu hasil serbuan terbabit.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayub berkata, daripada keseluruhan 83 kertas siasatan yang dihasilkan itu, 64 daripadanya telah berjaya dituduh di mahkamah.
Beliau menegaskan, pihaknya memandang serius sebarang aktiviti perjudian haram yang boleh mencemarkan ketenteraman awam dan sentiasa mengambil tindakan penguatkuasaan menerusi Operasi (Op) Dadu.
“Kesemua serbuan dijalankan bagi tempoh bulan Januari hingga Ogos 2026.
“Daripada jumlah tersebut juga, sebanyak 20 premis telah diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik bersama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai hantaran di media sosial oleh Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor yang mendakwa isu judi di daerah ini masih berleluasa.
Wan Razali berkata, pihaknya sering menerima aduan mengenai isu terbabit disuarakan penduduk di Tanjung Lumpur, Sungai Isap, Kempadang, Berjaya Permai, Pak Mahat dan Batu 3, di mana mereka turut mencadangkan agar himpunan diadakan di setiap premis yang dikenal pasti menjalankan aktiviti itu.
“Saya mengharapkan pihak polis dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) terus aktif membuat siasatan dan mengambil tindakan berterusan bagi menyelamatkan ummah dari dibelenggu gejala judi yang merugikan negara,” katanya.
Justeru, Azry Akmar menasihati orang awam agar tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh menyebabkan sebarang insiden tidak diingini daripada berlaku.
Beliau turut menyeru komuniti setempat agar terus menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan judi haram kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Polis Daerah Kuantan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam aktiviti perjudian haram dan akan meneruskan operasi secara berterusan,” tegasnya. – MalaysiaGazette















