MELAKA – Kira-kira 2,000 kanak-kanak autisme bakal menerima manfaat apabila Tabika Tunas Istimewa@KEMAS mula beroperasi di 132 daerah di seluruh negara bermula Januari tahun depan.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, persiapan sedang giat dijalankan bagi proses pengambilan dan saringan kanak-kanak terbabit pada Oktober ini.
Kata beliau, persiapan itu juga merangkumi pengambilan hampir 400 guru yang bakal ditempatkan di semua tabika terbabit.
“Saringan itu bukan sekadar pendaftaran. Ia perlu melalui saringan bersama dengan Jabatan Kesihatan untuk memastikan level autism kanak-kanak itu.
“Keduanya, kita juga akan memastikan anak-anak ini telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana sebagai anak-anak istimewa, kalau kita tengok di Kementerian Pendidikan, di kelas-kelas khas ini, anak-anak ini mendapat elaun sebagai anak-anak istimewa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Festival Masyarakat KEMAS Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Semabok, Melaka.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Festival Masyarakat KEMAS peringkat negeri di Semabok, Melaka hari ini
Program itu dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Mohd Hanafiah, KEMAS juga sedang mengadakan perbincangan bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi mendapatkan sijil profesional pendidikan khas kepada guru kanak-kanak autisme sebagai nilai tambah.
“Kita ada hampir 400 guru yang dilatih melalui program sangkutan di Kementerian Pendidikan.
“Pada masa sama, di peringkat kementerian juga kita sedang mengadakan perbincangan dengan UPSI bagi memberikan sijil profesional untuk pendidikan khas. Ini sekurang-kurangnya menjadi nilai tambah kepada cikgu-cikgu kita nanti,” katanya.
Tambahnya, Melaka menjadi negeri perintis bagi penubuhan tiga Tabika Tunas Istimewa@KEMAS, masing-masing satu di Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.
“Di Melaka bermula awal tahun depan, akan ada tambahan dua lagi tabika khas untuk anak-anak autisme ini,” katanya.
Program Tabika Tunas Istimewa@KEMAS bermula di Melaka sebagai projek rintis pada Julai tahun lalu. – MalaysiaGazzette
















