ALOR GAJAH – “Hang, jagalah keluarga hang”.
Itu pesanan terakhir Hassan Mohd Said, 57, kepada anak saudaranya, Ayatollah Abdul Ghani, 47, kira-kira dua bulan lalu sebelum lelaki itu ditemukan meninggal dunia di sebuah bangunan rumah kedai terbiar di Cherana Putih, Taboh Naning di sini pagi tadi.
Ayatollah berkata, kali terakhir dia bertemu bapa saudaranya itu kira-kira dua bulan lalu ketika Hassan yang ketika itu dalam keadaan sihat menyatakan hasrat untuk mencari pekerjaan.
Menurutnya, dia kemudian menghantar lelaki itu yang dipanggil Busu ke Alor Gajah sebelum meninggalkannya di sebuah kedai makan.
“Lepas dia makan, dia kata, ‘Okay, Busu nak gerak. Hang, jagalah keluarga hang.
“Itu saja pesanan terakhir dia kepada saya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di lokasi kejadian selepas membuat pengecaman mayat adik bongsu bapanya itu di sini hari ini.

Ayatollah berkata, Hassan merupakan duda kematian isteri dan tidak mempunyai anak sebelum ini sering menumpang di rumah saudara-maranya malah kali terakhir lelaki itu tinggal bersamanya.
Katanya, Hassan ketika kali terakhir bersamanya kelihatan sihat dan tidak menunjukkan sebarang tanda mengalami masalah kesihatan serius walaupun mempunyai sejarah penyakit termasuk kencing manis dan masalah jantung.
“Sebelum ini, Busu ada buat kerja kutip barangan terpakai dan menjualnya sebagai sumber pendapatan. Masa itu keadaannya sihat, boleh berjalan dan tak nampak pun dia uzur.
“Dia kata, Busu nak cari kerja baru. Itu pesanan terakhir dia,” katanya sambil menambah tidak lagi menerima khabar berita daripada bapa saudaranya itu selepas kejadian berkenaan.
Katanya, keluarga hanya mengetahui mengenai keadaan Hassan selepas pihak polis menemui kad pengenalan pada mayat pagi tadi sebelum menghubungi waris. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:















