Screenshot

KUALA LUMPUR – “Semakin ditekan, semakin melawan”, itu amaran Sekretariat #RCINOW kepada Kerajaan Madani susulan tindakan terhadap aktivis masyarakat sivil, Amir Hadi dan Dobby Chew daripada NGO Mandiri dan Hayat baru-baru ini.

Sekretariat mendakwa penahanan, pembekuan akaun serta siasatan terhadap kedua-dua aktivis berkenaan merupakan sebahagian daripada tindakan kerajaan yang semakin menekan pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

Menurut mereka, tindakan tersebut tidak akan mematahkan perjuangan aktivis, sebaliknya menyemarakkan lagi solidariti rakyat untuk menentang apa yang mereka sifatkan sebagai ketidakadilan, salah guna kuasa dan rasuah.

“Tidak ada kerajaan atau elit pemerintah yang mampu berhadapan kuasa rakyat dan perlawanan bagi Malaysia yang lebih baik.

“Justeru, Kerajaan Madani perlu henti bungkam NGO!” katanya NGO tersebut pada sidang media selepas Himpunan Tangkap Mafia Korporat di luar pekarangan kompleks beli-belah Sogo, di sini, hari ini.

Sekretariat turut mendakwa, tindakan terhadap Amir dan Dobby berlaku ketika kerajaan masih gagal memberikan jawapan memuaskan berhubung dakwaan mafia korporat, isu pemilikan saham bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki serta dakwaan rasuah yang berakar umbi.

“Sehubungan itu, Sekretariat #RCINOW mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan “mafia korporat” serta penglibatan pegawai SPRM.

“Laporan Bloomberg mengenai dakwaan hubungan antara kumpulan ahli perniagaan dan pegawai penguat kuasa merupakan perkara serius yang tidak boleh dibiarkan tanpa siasatan menyeluruh,” katanya.

Mereka turut mempersoalkan mengapa isu pemilikan saham Azam masih menjadi persoalan dan meminta perkara itu dijelaskan secara terbuka.

“Justeru, kami mendesak agar sebuah RCI ditubuhkan segera bagi menyiasat tuduhan mafia korporat dan siasatan ini perlu dijalankan dengan bebas, terbuka dan telus.

“Dapatan-dapatan RCI juga perlu didedahkan kepada rakyat dan mereka yang bersalah perlu didakwa berlandaskan lunas undang-undang,” katanya.

Dalam masa sama, sekretariat mendakwa wujud layanan berbeza dalam sistem keadilan negara terhadap individu berdasarkan kekayaan, pengaruh dan kedudukan.

Sekretariat turut membangkitkan kes Datuk Seri Najib Razak dan isu tahanan rumah sebagai perbandingan, selain mempertikaikan layanan terhadap tahanan yang mempunyai masalah kesihatan serta berdepan kekangan mendapatkan perwakilan undang-undang.

“Sekretariat menuntut agar undang-undang yang mengawal selia sistem keadilan kita dilaksanakan secara sama rata terhadap semua pihak, tanpa mengira kekayaan, pengaruh atau status,” katanya.

Mengenai tindakan terhadap Amir dan Dobby, sekretariat berkata kedua-duanya disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Aktiviti Terlarang dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Penggunaan AMLA dalam kes itu sebagai satu bentuk penyalahgunaan undang-undang yang serius, khususnya apabila ia dikaitkan dengan pembekuan akaun dan penahanan kedua-dua aktivis,” katanya.

Mandiri dan Hayat juga mendakwa, tindakan sedemikian boleh memberi kesan terhadap ruang masyarakat sivil untuk menjalankan fungsi semak dan imbang.

Mereka turut membangkitkan penggunaan Akta Hasutan 1948, SOSMA, Akta Komunikasi dan Multimedia serta Kanun Keseksaan terhadap aktivis dan rakyat.

“Tindakan terhadap Amir dan Dobby membuktikan bahawa gerakan masyarakat sivil tidak akan mudah digerunkan.

“Malah, apabila akaun Amir, Dobby dan organisasi dua NGO ini dibekukan, kedua-dua aktivis terbabit tetap hadir secara sukarela ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman,” katanya.

Katanya lagi, apabila mereka direman, rakan-rakan aktivis dari pelbagai peringkat pula berkhemah di luar lokap sebagai tanda solidariti dan menuntut pembebasan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here