KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli digesa membuat pengakuan dan permohonan maaf secara terbuka susulan sesi tabayyun bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung isu kandungan program yang mempunyai implikasi terhadap agama dan akidah.
Pengerusi Lajnah Ilmuwan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Pas Selangor, Dr. Abu Musleh berkata, perkara itu penting bagi memberikan penjelasan kepada masyarakat selepas JAKIM mengadakan sesi pertemuan bersama Marhamah semalam.
Beliau berkata, tindakan JAKIM khususnya Panel Pakar Akidah (PPA), menjalankan penelitian dan sesi tabayyun membuktikan isu berkaitan akidah diberi perhatian serius.
“Akidah ialah asas dan pasak seorang muslim. Sebarang perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadapnya wajar diteliti secara serius dan telus berdasarkan disiplin ilmu yang muktabar.
“Justeru, saya menghargai ketegasan JAKIM dalam menjalankan siasatan dan memberikan teguran, nasihat serta panduan berkaitan kandungan dan pendekatan program yang mempunyai implikasi terhadap agama dan akidah,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Abu Musleh, JAKIM sebelum ini memaklumkan sesi berkenaan turut membabitkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah JAKIM dan pihak berkaitan bagi meneliti isu tersebut dari sudut disiplin akidah, autoriti agama serta latar pemikiran New Age Movement (NAM).
Beliau berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah penggunaan istilah atau pendekatan yang boleh mengelirukan masyarakat khususnya apabila istilah berkaitan agama digunakan dalam program pembangunan insan dan kerohanian.
“Lebih membimbangkan apabila istilah Islam yang sahih digunakan untuk menutup fahaman yang bercanggah dengannya.
“Oleh itu, pihak berautoriti agama wajar meneliti dengan teliti setiap istilah, kandungan dan pendekatan yang digunakan dalam program kerohanian atau pembangunan insan,” ujarnya.
Mengulas kenyataan terdahulu, Marhamah yang menafikan kaitan dengan NAM serta menuntut pihak yang membuat dakwaan menarik balik kenyataan dan memohon maaf, Abu Musleh berkata, perkembangan terbaharu JAKIM sewajarnya mendorong penjelasan susulan daripada timbalan menteri itu.
Beliau berkata, JAKIM sendiri menegaskan, sebarang kandungan atau pendekatan yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap akidah perlu diperbetulkan dan dimurnikan manakala pengisian agama hendaklah berasaskan disiplin ilmu Islam serta pandangan pihak berautoriti.
“Dalam keadaan ini, adalah wajar bagi timbalan menteri mengeluarkan kenyataan susulan yang mengakui perkara berkenaan secara terbuka kepada masyarakat selaras dengan dapatan dan pandangan JAKIM.
“Ini penting supaya masyarakat khususnya mereka yang pernah mengikuti program berkenaan mendapat penjelasan yang jelas mengenai perkara yang perlu diperbetulkan,” tambahnya.
Pada masa sama, Abu Musleh menggesa mufti-mufti, JAKIM, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia serta pihak berautoriti agama negeri terus memantau dan mengkaji isu berkaitan secara telus dan konsisten.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan kesucian akidah umat Islam terus dipelihara tanpa mengira kedudukan atau status mana-mana individu yang terlibat.
“Rakyat kini menunggu pengakuan dan permohonan maaf daripada Senator Marhamah Rosli,” katanya. – MalaysiaGazette
















