KUALA LUMPUR – Buku autobiografi `Nama Saya Hasmah’ disaran dijadikan koleksi peribadi kerana ia merupakan nukilan jujur Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali sepanjang perkongsian hidupnya dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Penulis buku yang juga bekas majistret, Zabidi Mohamed menggambarkan allahyarhamah sebagai penulis yang bersahaja daripada sudut pandangan seorang isteri dan ibu yang penyayang.
Menurut beliau yang juga penggiat filem pendek, buku tersebut membawa pembaca mengenali kehidupan di sebalik pintu rumah mereka serta kisah cintanya dengan lelaki bernama Dr Mahathir.
“Buku beliau, ‘Nama Saya Hasmah’ sudah tiga kali saya ulang baca. Teruk kena conteng oleh saya.Setiap kali membukanya, saya menemukan sesuatu yang membuat saya tersenyum, ketawa, malah sesekali geram dan marah kepada Tun Dr. Mahathir.
“Di sebalik sosok negarawan yang kita kenali, rupa-rupanya ada seorang suami yang kuat merajuk!
“Al Fatihah. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan menempatkan beliau dalam kalangan orang yang soleh. Amin,” ujarnya dalam hantaran dalam laman Facebook hari ini.
Isteri kepada bekas Perdana Menteri yang juga ibu kepada tujuh anak, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pagi ini pada usia 100 tahun.
Mengulas lanjut mengenai buku tersebut, Zabidi berkata, antara bahagian yang paling diingatinya ialah kisah perjalanan mereka ke Chechnya yang lucu tetapi juga memberi inspirasi.
Zabidi berkata, buku `Nama Saya Hasmah’ setebal 280 muka surat itu diterbitkan pada 2018 itu turut menjadi kegemaran isterinya.
“Ia mengingatkan semua bahawa di sebalik sejarah besar sebuah negara, ada kisah keluarga yang penuh kasih dan sangat manusiawi,” ujar beliau. – MalaysiaGazette















