Ng Peng Kim dipenjara tujuh tahun dan tiga sebatan atas kesalahan cuba samun menggunakan sebilah kapak oleh Mahkamah Sesyen Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – “Saya minta maaf sama dia”.

Itu kata seorang penganggur selepas melihat gambar kecederaan mangsa yang cuba disamunnya menggunakan sebilah kapak, minggu lalu.

Terdahulu, Ng Peng Kim, 43, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan cuba melakukan samun dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Ong Soo Jin, 59 tahun mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Hakim Irwan Suainbon menjatuhkan hukuman itu selepas mempertimbangkan fakta kes, rayuan mitigasi tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan.

Mengikut fakta kes, lelaki itu memasuki Ban Hin Seng Watch Enterprise di Jalan Anson kira-kira jam 4.30 petang dengan membawa kapak sebelum cuba menyamun mangsa.

Bagaimanapun, tindakan itu membawa kepada pergelutan antara tertuduh dan mangsa yang menyebabkan tangan kanannya cedera.

Mangsa kemudian mendapatkan rawatan dan pegawai perubatan mengesahkan dia mengalami luka terkoyak pada lengan kanan.

Susulan itu, tertuduh ditahan kira-kira jam 12.20 tengah malam pada 22 September lalu di Straits Quay di sini.

Dalam rayuan mitigasi, Peng Kim yang memaklumkan dirinya tidak bekerja sebelum ditahan memohon hukuman lebih ringan selain meminta hukuman penjara dikira dari tarikh tangkap.

Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong bagaimanapun memohon hukuman berat dengan menyifatkan kesalahan itu serius dan telah menimbulkan kebimbangan kepada orang awam.

Beliau berkata, penggunaan kapak sebagai senjata dalam kejadian itu merupakan faktor yang memburukkan kesalahan kerana berpotensi menyebabkan kematian, selain mangsa turut mengalami kecederaan.

Dalam penghakiman, Irwan berkata, mahkamah mengambil kira kepentingan awam serta keseriusan kesalahan yang membabitkan cubaan samun bersenjata hingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Katanya, hukuman itu diharapkan menjadi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama, selain memberi peringatan kepada masyarakat mengenai keseriusan kesalahan berkenaan.

Beliau kemudian menetapkan hukuman penjara tujuh tahun berkuat kuasa dari tarikh hukuman dijatuhkan hari ini serta tiga sebatan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Samun kedai jam guna kapak, dua rakan direman tujuh hari

Media sebelum ini melaporkan dua rakan direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes samun sebuah kedai membaiki jam sehingga menyebabkan kecederaan terhadap pemilik premis tersebut.

Mereka ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here