KUALA LUMPUR – Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2026 mencatat jumlah jualan RM6.78 bilion sepanjang empat hari penganjurannya dari 23 hingga 26 September lalu.

Jumlah itu meningkat RM730 juta atau 12 peratus berbanding RM6.05 bilion yang direkodkan pada 2025, selain melebihi sasaran RM5 bilion sebanyak RM1.78 bilion atau 35.5 peratus.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata, pencapaian berkenaan mengukuhkan kedudukan MIHAS sebagai platform yang menghubungkan perniagaan Malaysia dengan pasaran antarabangsa serta menterjemahkan jaringan perdagangan kepada peluang komersial.

Menurutnya, MIHAS 2026 turut memperlihatkan peningkatan penyertaan antarabangsa apabila menarik 69,104 pengunjung dari 93 negara, berbanding 50,340 pengunjung pada 2025, peningkatan sebanyak 18,764 orang atau 37.3 peratus.

Acara itu turut menghimpunkan pempamer dan pembeli Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) dari 58 negara.

Komponen INSP menjana RM4.02 bilion, meningkat RM394.5 juta atau 10.9 peratus berbanding RM3.63 bilion pada 2025.

Program berkenaan menyediakan platform pertemuan perniagaan berstruktur antara penjual Malaysia dengan pembeli antarabangsa, termasuk peluang dalam sumber bekalan, padanan perniagaan dan potensi transaksi eksport.

Sementara itu, Pameran MIHAS
merekodkan jualan kira-kira RM1.99 bilion berbanding RM1.89 bilion pada tahun lalu, meningkat RM103.9 juta atau 5.5 peratus.

Antara produk utama yang menyumbang kepada jualan pameran ialah makanan diproses, teknologi makanan dan pembungkusan, makanan sejuk beku serta baja dan agrokimia.

Dalam pada itu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia menjana RM620 juta jualan pada MIHAS 2026, meningkat kira-kira RM63 juta atau 11.3 peratus berbanding RM557 juta pada 2025.

Penyertaan PKS turut meningkat daripada 64 syarikat pada 2021 kepada 339 syarikat tahun ini, iaitu pertumbuhan sebanyak 429.7 peratus dalam tempoh enam edisi.

Prestasi itu disokong pertumbuhan sektor eksport halal negara yang mencecah RM68.52 bilion pada 2025, meningkat 10.9 peratus daripada RM61.79 bilion pada 2024.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Malaysia menyasarkan nilai eksport halal sebanyak RM80 bilion.

Edisi MIHAS 2026 turut menyaksikan penerapan teknologi Agentic AI bagi memperkukuh hubungan perniagaan dan meneroka peluang perdagangan baharu.

Lebih 22,000 pertemuan perniagaan yang dibantu AI dijana sepanjang MIHAS 2026, dengan 324 padanan menghasilkan nilai jualan RM28 juta.

Platform AI berkenaan akan terus beroperasi sehingga 2027 bagi membolehkan syarikat yang terlibat meneruskan hubungan dengan bakal pembeli serta meneroka peluang perdagangan baharu selepas pameran berakhir.

Matrade berkata, penerapan teknologi itu turut menyokong usaha memperkasa PKS dan Syarikat Peringkat Pertengahan untuk memperluas pasaran global, khususnya di pasaran baharu dan bukan tradisional.

Di bawah Platform Perdagangan Digital Madani (MDTP), kesalinghubungan antara pengeksport Malaysia dan pembeli global akan terus diperkukuh bagi menyokong peluang eksport yang mampan.

Secara keseluruhannya, Matrade berkata, MIHAS 2026 memperlihatkan perkembangan platform berkenaan melangkaui konsep pameran perdagangan konvensional menerusi gabungan prestasi jualan, penyertaan antarabangsa, pembangunan PKS serta padanan perniagaan berasaskan AI. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here