Norsyazwina Qistina Putri Nawi.

KUALA NERUS – Di sebalik suasana meriah pendaftaran pelajar baharu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi Sesi Akademik
2026/2027, terselit kisah penuh ketabahan seorang pelajar yatim piatu yang hadir dengan semangat luar biasa demi mengubah masa depan
hidupnya.

Bagi Norsyazwina Qistina Putri Nawi, 20 tahun, langkahnya ke menara gading bukan sekadar untuk melanjutkan pengajian, sebaliknya menjadi simbol perjuangan seorang anak yang membesar tanpa kedua-dua ibu dan bapa.

Beliau kini menuntut dalam program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Pemasaran) di UMT.

Walaupun berdepan kehidupan serba kekurangan, Norsyazwina tetap cekal meneruskan perjalanan akademiknya dengan
sokongan adik-beradik yang menjadi tulang belakang utama kehidupannya.

“Saya di bawah tanggungan abang dan kakak saya. Saya tinggal di rumah arwah mak dan ayah bersama kakak pertama dan kakak ketiga,
tetapi yang banyak menanggung saya ialah abang saya yang bekerja sebagai anggota Polis Marin di Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui
pada hari pendaftaran pelajar baharu UMT.

Menurutnya, kehilangan ibu pada 20 September 2025 akibat disyaki kanser rahim, diikuti pemergian bapa pada 23 April 2026 akibat penyakit jantung, memberi kesan besar dalam hidupnya.

Namun, ia tidak sesekali mematahkan semangat anak keenam daripada tujuh beradik ini untuk terus melangkah ke hadapan.

“Walaupun susah, saya tetap mahu terus belajar kerana ini sahaja harapan untuk mengubah hidup saya dan keluarga,” katanya penuh
sebak.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Suriyani Muhamad berkata, kisah seperti ini mencerminkan realiti sebahagian pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggi dan menjadi tanggungjawab universiti untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada pendidikan akibat latar belakang keluarga atau cabaran hidup.

“UMT sentiasa komited menyediakan ekosistem pembelajaran yang inklusif dan prihatin. Norsyazwina juga merupakan penerima Bantuan awal pengajian Bingkas Kasih baru-baru ini.

“Kami percaya setiap pelajar mempunyai potensi untuk berjaya apabila diberi peluang, sokongan dan bimbingan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau turut menegaskan UMT akan terus memperkukuh jaringan kebajikan pelajar melalui pelbagai inisiatif bagi memastikan
kesejahteraan mahasiswa sentiasa terpelihara sepanjang tempoh pengajian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here