Mohammad Abiddin Abd Rahman menyampaikan ucapan pada Program Sinergi Media Madani APM Tahun 2026 di Putrajaya, hari ini.

 

PUTRAJAYA – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memperkukuh tahap kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka meningkatkan risiko banjir, kepala air, tanah runtuh dan cuaca ekstrem di beberapa negeri.

Ketika berucap pada Program Sinergi Media Madani APM 2026, Ketua Pesuruhjaya APM, Mohammad Abiddin Abd Rahman berkata, persiapan itu merangkumi pengukuhan anggota, aset, logistik, pusat kawalan operasi, sistem komunikasi serta koordinasi bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana di semua peringkat.

Menurutnya, kesiapsiagaan menghadapi MTL bukan hanya bergantung kepada keupayaan agensi penyelamat, sebaliknya turut memerlukan masyarakat menerima maklumat yang tepat dan bertindak lebih awal.

“Dalam konteks ini, media menjadi penghubung penting antara agensi kerajaan dan rakyat, khususnya dalam menyampaikan amaran cuaca, operasi menyelamat, bantuan kemanusiaan serta langkah keselamatan dengan cepat, tepat dan bertanggungjawab,” katanya selepas program tersebut.

Mohammad Abiddin berkata, kepercayaan rakyat terhadap maklumat rasmi semakin penting dalam era komunikasi digital dan kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pesat.

Mohammad Abiddin Abd Rahman, bergambar bersama para jemputan selepas Program Sinergi Media Madani APM Tahun 2026 di Putrajaya, hari ini.

Justeru, media disifatkan sebagai rakan strategik dalam membentuk kefahaman masyarakat terhadap fungsi serta tanggungjawab APM, terutama ketika berdepan situasi bencana.

“Dalam operasi menyelamat, anggota APM mungkin berada di barisan hadapan. Namun sebelum operasi bermula, media berada di barisan pertama dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.

“APM percaya setiap laporan dan hebahan yang tepat mampu membentuk tindakan yang betul, mengurangkan risiko dan akhirnya menyelamatkan beribu-ribu nyawa pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, APM kini bergerak ke arah konsep ‘APM Masa Hadapan’ bagi membentuk organisasi yang lebih profesional, tangkas, berteraskan teknologi, berpaksikan data dan diyakini rakyat.

Transformasi berkenaan bukan sahaja melibatkan pemodenan aset dan peralatan, malah merangkumi perubahan budaya kerja, pembangunan modal insan, pendigitalan penyampaian perkhidmatan serta pengukuhan komunikasi strategik.

Mohammad Abiddin menambah, media turut menjadi sebahagian daripada ekosistem transformasi itu dengan membantu menyampaikan fakta berkaitan operasi secara bertanggungjawab serta membina budaya kesiapsiagaan dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, naratif pengurusan bencana pada masa hadapan perlu melangkaui sekadar melaporkan kejadian, sebaliknya membantu membentuk masyarakat yang bersedia sebelum bencana, mengetahui tindakan yang betul ketika bencana dan mampu bangkit dengan lebih berdaya tahan selepas bencana.

Beliau berharap hubungan strategik dengan media terus diperkasakan bagi membentuk jaringan komunikasi yang diyakini rakyat, sekali gus meningkatkan kesedaran awam dan keyakinan terhadap keupayaan agensi keselamatan negara dalam menghadapi MTL. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here