Rahmat Taib (kiri) menunjukkan lembu ternakannya kepada Yusla yang diusahakan di Kampung Sungai Lurus, Batu Pahat.

BATU PAHAT – Seorang pesara tentera yang menternak lembu secara kecil-kecilan di Kampung Sungai Lurus di sini, berharap ada jabatan yang mampu membantunya membuat pagar dalam kawasan ternakannya.

Rahmat Taib, 70, berkata, ini bagi memastikan keselamatan semua haiwan ternakannya daripada meragut rumput di luar kawasan ternakan terutama memakan rumput yang sudah diracun.

Katanya, dia menternak 17 ekor lembu dan 25 ekor kambing untuk dijual semasa musim perayaan terutama setiap kali Hari Raya Aidiladha.

“Ketika ini saya terpaksa menggunakan apa sahaja barang terpakai untuk dijadikan pagar bagi menghalang haiwan ternakan terlepas dan memakan rumput sembarangan yang berisiko menyebabkan binatang itu mati akibat keracunan.

“Kejadian itu pernah berlaku pada 2022 apabila tujuh ekor lembu mati akibat makan rumput yang baru diracun. Ini banyak mengajar saya untuk lebih berhati-hati agar tidak lagi melepaskan ternakan bebas meragut rumput di kawasan berdekatan kandang,” katanya.

Rahmat berkata demikian ketika ditemui selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Yusla Ismail meninjau keadaan kandang lembu tersebut di kampung berkenaan, hari ini.

Jelasnya, bagi memenuhi keperluan makanan lembu miliknya itu, dia kini terpaksa mendapatkan sendiri rumput bersesuaian selain hampas sawit.

Pada masa sama, dia turut melepaskan ternakannya secara kawalan dalam kawasan kelapa sawit yang diusahakan seluas kira-kira dua ekar di kampung berkenaan.

“Untuk itu, saya mengharapkan jabatan berkaitan dapat membantu membina pagar lebih sesuai agar lembu ini tidak dapat keluar tanpa kawalan terutama ketika kami tiada di kebun.

“Untuk menilai sendiri tahap keluasan pagar bersesuaian adalah lebih baik ditentukan oleh pihak berkaitan, namun bagi saya cukuplah sebagai tempat untuk mengelakkan ternakan terlepas tanpa kawalan,” katanya,

Sementara itu, Yusla berkata, beliau akan membawa masalah tersebut kepada pihak berkaitan agar dapat diberikan bantuan sewajarnya dalam menyokong usaha Rahmat itu.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here