KUANTAN – Sebanyak 7,325 kilogram abu teks dan bahan yang mengandungi ayat al-Quran rosak dilupuskan dengan tertib dan mengikut kaedah yang ditetapkan hukum syarak.
Proses dilaksanakan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi Program Pelupusan Abu al-Quran ke Laut di perairan Kuantan, di sini hari ini.
“Abu tersebut merupakan hasil daripada proses pembakaran 30,000 kilogram teks dan bahan al-Quran rosak yang telah dilaksanakan di Kompleks Pemuliaan al-Quran Negeri Pahang, Chenor dan Pusat Pemuliaan Al-Quran JAIP, Pekan,” kata JAIP menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Katanya, program itu melibatkan pegawai dan kakitangan JAIP, terdiri daripada Ketua-Ketua Penolong Pengarah JAIP, Al-Fadhil Qadhi Daerah, Bahagian Penyelidikan JAIP serta Unit Penyelidikan Pejabat Agama Islam Daerah yang terlibat secara langsung dalam proses pelupusan berkenaan.
Proses pelupusan telah dilaksanakan kira-kira 1.5 batu nautika dari Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, dengan sokongan aset TLDM termasuk KD Terengganu serta bantuan staf daripada Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1), Pangkalan TLDM, Tanjung Gelang.
Majlis dirasmikan Timbalan Pengarah JAIP, Datuk Abdul Zaki Md Zain dan turut dihadiri Panglima Markas Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Datuk Azman Rabani; Pengarah Perancangan dan Kontigensi (MAWILLA 1), Kapten Muhamad Zaki Abd Aziz serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan.
“Program itu dilaksanakan bagi memastikan pengurusan dan pelupusan bahan al-Quran yang rosak atau tidak lagi boleh digunakan dilakukan dengan cara yang teratur, penuh tertib serta memelihara kesucian kalam Allah SWT.
“Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen berterusan JAIP dengan kerjasama TLDM dalam memartabatkan pengurusan bahan al-Quran secara beradab dan berlandaskan syariat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















