SEREMBAN – Penambahan kemudahan di klinik Kesihatan Rantau sedia ada akan disegerakan sementara menunggu pembinaan dua klinik iaitu di Rantau dan Seri Sendayan.
Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S Streram berkata, ia penting untuk memastikan penduduk setempat disediakan perkhidmatan kesihatan sementara menunggu pembinaan dua buah klinik siap.
“Saya telah dimaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan akan membina dua Klinik Kesihatan baharu iaitu di Rantau dan Seri Sendayan dengan kos RM80 juta.
“Walaupun itu satu berita yang menggembirakan untuk penduduk Rantau di sini, tetapi kita tidak boleh terus membiarkan klinik kesihatan sedia ada begitu saya.
“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan kemudahan alat kesihatan asas seperti imbasan sinar X dan beberapa alat kelengkapan lain yang sangat diperlukan ditambah segera untuk terus digunakan pesakit sementara tunggu linik kesihatan baharu,” katanya selepas menemui pengundi di Kampung Pasir, Kuala Sawah malam tadi.
Tambah Streram, beliau akan berbincang dengan kementerian berkaitan untuk memastikan kemudahan di klinik sedia ada ditambah dengan segera.
“Ia semua peralatan asas kasihatan melibatkan kos sederhana dan bukannya tinggi pun, maka rakyat bolehlah menggunakan fasiliti sedia ada sehingga klinik baharu dibangunkan dan beroperasi,” katanya.
Terdahulu perjumpaan itu yang sepatutnya diteruskan dengan ceramah terganggu apabila pihak penganjur memberi alamat yang salah ketika memohon permit.
“Kita ada permit untuk ceramah ini tetapi alamat berbeza dan saya pun tak tahu bagaimana jentera kempen membuat kesilapan mengisi alamat ketika memohon permit ceramah.
“Maka penguatkuasa SPR menasihatkan tidak berceramah dan sebab saya ambil langkah mudah duduk bersembang dengan pengundi,” katanya. -MalaysiaGazette















