KUALA LUMPUR – Petinju profesional negara, Farkhan Haron terus menambah koleksi rekod kepada 10 kemenangan selepas menumbangkan Alexander Bajawa menerusi pukulan tumbang (KO), sekali gus memenangi tali pinggang WBA Selatan Asia kategori cruiserweight di Pattaya, Thailand semalam.
Atlet dari Johor Bahru itu hanya perlu melepaskan satu tumbukan di bahagian dagu petinju dari Indonesia itu dalam pusingan ketiga yang membuatkan Alexander rebah dan tidak bupaya bangkit.
“Masa pusingan pertam dan kedua, saya kawal permainan. Pusingan ketiga, saya ingin memperlahankan momentum, tetapi Alexander mula agresif.
“Bagi saya apabila pihak lawan dah mula agresif, saya pun perlu agresif. Sukan tinju sangat berbahaya walaupun sesaat kita alpa, kita boleh dikalahkan.
“Jadi apabila dia terlalu agresif, saya perlu ‘bunuh’ dia sebelum dia ‘bunuh’ saya. Satu tumbukan padu, Alexander dah tak boleh bangun dan KO di pusingan ketiga,” kata dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Farkhan yang pernah mencatat namanya di dalam Malaysia Book of Record (MBR) sebagai petinju termuda memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2009 Laos kini memegang rekod 10-0-0.
Petinju berusia 31 tahun itu kini telah memenangi empat gelaran berturut-turut sejak 2016 bermula pada WBC Asia cruiserweight di Singapura, diikuti WBC Asia light heavyweight (Johor) dan ABF cruiserweight (Manila) dan terkini WBA cruiserweight (Thailand).
Lebih manis, Farkhan muncul petinju Malaysia pertama berkaya merangkul dua tali pinggang daripada dua organisasi sukan dunia, Persatuan Tinju Dunia (WBA) dan Majlis Tinju Dunia (WBC). – MalaysiaGazette
















