KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa berharap kepulangan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mampu untuk meneruskan usaha mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti itu.
Naib Ketuanya, Fadzmel Fadzil berkata, bagi tujuan itu, pimpinan dan akar umbi UMNO perlu kekal fokus usaha pemulihan parti bagi memulihkan kepercayaan rakyat.
“UMNO perlu dilihat berubah dan ahlinya perlu solidariti bersama memimpin legasi perjuangan parti terus mara ke hadapan.
“Parti ini bukanlah parti individu, tetapi parti ini lahir daripada perjuangan bersama yang mahukan terbaik untuk agama, bangsa dan tanahair,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook miliknya, semalam.
Beliau mengulas keputusan Ahmad Zahid yang mengumumkan menamatkan cutinya sejak 18 Disember tahun lalu dan kembali menjalankan tugas Presiden UMNO berkuatkuasa, Ahad lalu.
Perkara itu diumumkan Ahmad Zahid ketika Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk, Perak pada Ahad.
Fadzmel yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia menegaskan parti Melayu itu dilihat semakin utuh ketika parti komponen Pakatan Harapan (PH) bergolak dan berselingkuh sesama sendiri sejak beberapa bulan lalu.
“Rata-rata rakyat melihat UMNO berada di landasan yang tepat dan mampu pulih daripada defisit kepercayaan susulan kekalahan pada PRU14 lalu,” katanya.
Katanya lagi, tidak mustahil UMNO boleh kembali memegang tampuk pemerintah negara bagi membela nasib rakyat khususnya orang Melayu pada penggal akan datang.
“Ini dibuktikan dengan kemenangan tiga pilihan raya kecil, gerakan penyatuan ummah bersama Pas dan pemerkasaan dalaman parti yang berterusan.
“Parti keramat yang sebelum ini pernah diherdik kini kembali menjadi sebuah parti utama yang membela nasib rakyat, khususnya bangsa Melayu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















