KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini digesa mewujudkan pemegang amanah di dalam Tabung Wakaf Sumbangan Masjid (TWSM) bagi memantau aliran kewangan masjid di negeri itu.

Ketua Penerangan Pas Negeri Pulau Pinang, Ahmad Rafaie A Rashid berkata, walaupun nilai sumbangan 10 peratus daripada hasil tabung Jumaat itu agak kecil, namun ia bagi menjaga keyakinan umat Islam bagi memastikan bukan Islam tidak mencampurinya.

“Kami cadangkan supaya dibentuk pemegang amanah untuk mengurus dan melapor secara terbuka aliran penggunaan serta keputusan berkaitan.

“Aspek kepercayaan umat Islam di negeri ini terhadap integriti berkait urus tadbir berkaitannya amat penting dijaga pelihara.

“Masalah kepercayaan awam ini amat serius, apatah lagi sudah beredar skeptikal bahawa ianya langkah awal Kerajaan Pulau Pinang untuk memantau aliran kewangan masjid selain mengurangkan peruntukan untuk hal ehwal agama Islam di masa depan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, penubuhan tabung wakaf sumbangan masjid negeri menerusi surat pekeliling kepada pengurusan masjid bertarikh 26 Jun lalu yang menjadi tular di dalam media sosial.

Menerusi surat itu, semua masjid di negeri ini diminta menyumbang sebanyak 10 peratus hasil kutipan tabung setiap Jumaat pada setiap bulan kepada tabung berkenaan berkuat kuasa bulan lalu.

Bagaimanapun, arahan itu mendapat bantahan banyak pihak yang mempersoal kewajaran Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengambil sebahagian daripada kutipan tabung tersebut yang sepatutnya digunakan pengurusan masjid untuk urusan lain termasuk membayar bil utiliti.

Ahmad Rafaie juga berkata, Pemegang Amanah ini pula perlu dilantik dalam kalangan pemimpin bukan kerajaan dan ahli politik.

“Jawatan itu mestilah dilantik secara rentas parti, malah mesti dijauhi dari pemerintah untuk mengelakkan isu konflik kepentingan dan seumpamanya.

“(Ini susulan daripada) insiden perasaan umat di Pulau Pinang dicederakan oleh tindakan Adun bukan Islam yang menyampaikan zakat pada Ramadan lalu.

“Ianya dianggap satu malapetaka dan campur tangan politik yang tidak wajar kerana melibatkan kepentingan agama dan umat Islam,” katanya.

Beliau turut menegaskan, pemegang amanah itu penting bagi mengelakkan insiden sama berulang sebagaimana urusan zakat dicampuri oleh bukan Islam.

“Zakat yang merupakan urusan ibadah umat Islam juga telah sewenangnya diperlakukan demikian, apakah jaminan Tabung Wakaf itu nanti selamat dari ‘diceroboh dan dirompak’?

“Umat Islam pasca PRU14 tidak naif untuk memahami tabiat politikus berkepentingan yang bukan sahaja sedia melanggar hukum agama, malah dengan kuasa berani meragut dan menindas hatta terhadap penguasa agama iaitu Sultan dan Raja-raja.

” Jangan mudah menuduh ada pihak sengaja mahu memanipulasi atau sensasikan isu ini, tetapi hakikatnya umat Islam selaku rakyat adalah pemantau hisbah terbaik dalam memberi penilaian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast