Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap kepada media pada Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Malaysia 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 06 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR- Kerajaan masih lagi menilai kesan yang akan ditanggung sekiranya mengambil alih konsesi lebuh raya dan dalam masa yang sama berusaha menunaikan janji kepada pengguna jalan raya untuk mengurangkan kos.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali berkata, semua perkara masih sedang dalam pertimbangan bagi memastikan sebarang keputusan tidak akan membebankan kedudukan kerajaan sekarang.

“Antara langkah-langkah yang sedang difikirkan adalah untuk mengurangkan kadar tol atau jika kita boleh menghapuskan tol dalam masa terdekat kerana jika dirujuk kepada manifesto Pakatan Harapan, ia tidak menyatakan sedemikian (menghapuskan tol).

“Dalam manifesto, jelas dinyatakan, kerajaan akan mengadakan perbincangan secara berperingkat dengan pemegang-pemegang konsesi.

“Kesemua ini masih dalam pertimbangan kerana kami tidak mahu membebankan kedudukan kewangan kerajaan,” katanya ketika menjawab soalan pemberita mengenai laporan yang mengatakan Kementerian Kewangan akan mengambil alih pegangan Khazanah Nasional Bhd. dalam PLUS Malaysia Bhd.

Khazanah memegang 51 peratus kepentingan dalam syarikat pengendali lebuh raya berkenaan manakala bakinya milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut Mohamed Azmin, beliau masih belum melihat kertas cadangan yang dilaporkan itu.

“Kami masih belum membuat sebarang keputusan (mengenai PLUS) kerana sekarang ini pun PLUS dimiliki oleh Khazanah sebanyak 51 peratus dan 41 peratus lagi milik KWSP.

“Secara teknikalnya (PLUS adalah milik kerajaan) kerana kedua-duanya adalah sayap pelaburan kerajaan, jadi kami akan melihat bagaimana mereka boleh membantu di dalam menyokong dasar kerajaan untuk mengurangkan tol.

Sebuah akhbar yang memetik sumber melaporkan, Kementerian Kewangan berminat untuk memiliki pegangan Khazanah dalam PLUS kerana Putrajaya katanya, sedang berusaha sedaya-upaya untuk mengelakkan aset tersebut jatuh kepada syarikat swasta.

Laporan itu juga menyebut, Kementerian Kewangan akan membeli pegangan dalam syarikat pengendali lebuh raya terbesar di Malaysia itu dan mengekalkan aset berkenaan di sektor kerajaan.

Cadangan pengambilan alih dijangka dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan tidak lama lagi.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast