KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengesahkan kematian seorang kanak-kanak berusia lima tahun di Kampung Mambong, Kuching pada Sabtu lalu kerana wabak jangkitan rabies.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kanak-kanak itu meninggal dunia ketika dalam rawatan rapi di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Katanya, sampel ujian rabies yang dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah disahkan positif rabies pada 6 November lalu.
“Mangsa kelihatan tidak aktif sejak 13 Oktober lalu lagi dan mengadu sakit tekak. Pada 15 Oktober, beliau mengalami demam dan berkelakuan luar daripada kebiasaan, lalu dibawa ke klinik swasta untuk pemeriksaan.
“Keadaannya bertambah teruk dan dibawa ke Klinik Kesihatan pada 18 Oktober dan dirawat sebagai pesakit luar dengan diagnosa Upper Respiratory Tract Infection (URTI).
“Namun, pada 21 Oktober, mangsa telah dibawa ke HUS apabila keadaannya semakin lemah,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau menyatakan, keluarga mangsa mempunyai dua anjing peliharaan di rumah dan kedua haiwan itu tidak pernah mendapat vaksinasi anti-rabies serta bebas bergaul dengan anjing liar.
Bagaimanapun, kata beliau, keluarga mangsa memaklumkan anaknya tidak pernah mengadu digigit anjing atau haiwan lain.
Katanya, sehingga kini kes disahkan jangkitan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak sejak pengisytiharan wabak itu pada 1 Julai 2017 sehingga 6 November lalu adalah 22 kes termasuk 21 kematian.
Dr. Noor Hisham meminta ibu bapa menasihatkan anak mereka supaya berwaspada dan segera memaklumkan sekiranya digigit, dicakar atau luka dijilat anjing, sama ada anjing liar atau milik sendiri.
“Ini kerana, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak pernah melaporkan bagi setiap lima anjing di Sarawak, dua daripadanya adalah positif virus rabies, maka langkah pencegahan perlu sentiasa diamalkan.
“Kementerian dan Jabatan Kesihatan Sarawak akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan agensi lain bagi memastikan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Bagaimanapun, kejayaan mengawal dan mencegah jangkitan rabies dalam anjing dan manusia bergantung pada kerjasama dan komitmen masyarakat,” katanya.
Katanya, semua pihak perlu memberi kerjasama dalam melaksanakan langkah kawalan yang telah dirancang dan ditetapkan oleh kerajaan agar jangkitan dan kematian rabies dapat dicegah. – MalaysiaGazette
















