Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) serendah 5.5 peratus merupakan pengumuman yang ‘menakutkan’ pencarum khususnya bagi mereka yang membuat pinjaman dengan bank sebagai caruman.

Naib Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana mereka terpaksa membayar kadar faedah yang jauh lebih tinggi dari dividen diperolehi.

Katanya, sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada 10 Mei 2018, rakyat mengharapkan perubahan positif, tetapi malangnya kehidupan mereka terus malap dan hanya mimpi indah yang tidak mungkin menjadi kenyataan.

“Lebih teruk lagi apabila semua perkara membabitkan Melayu Bumiputera terus merudum.

“Jika kita lihat, bukan sahaja dividen Tabung Haji mencatat sejarah paling rendah 1.25 peratus, dividen Tabung Angkatan Tentera (LTAT) juga mencatat sejarah yang sama, paling rendah sejak tahun 1973 iaitu cuma 2.0 peratus.

“Kini dividen ASB 2019 pula menerima nasib yang sama apabila diumumkan hanya 5.5 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Rabu lalu, Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.00 seunit dan bonus 50 sen seunit bagi skim ASB untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember tahun ini.

Dalam pengumumannya, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, ia membabitkan pengagihan berjumlah RM9 bilion dengan jumlah pemegang unit ASB kini mencecah 10 juta orang.

Menurut Ismail Sabri lagi, jika pinjaman dibuat berjumlah RM100,000 untuk tempoh bayaran selama 20 tahun, pencarum terpaksa membayar anggaran bulanan sebanyak RM660.

Kata beliau, dalam setahun, peminjam perlu membayar RM7,920, tetapi dividen diperoleh tahun ini hanya RM5,500.

Bukan sahaja pencarum tidak dapat merasai hasil caruman, mereka dibebankan pula untuk membayar kerugian daripada pinjaman yang dibuat.

“Dalam keadaan ekonomi semakin memburuk ini dan ada kehilangan punca pencarian kerana dibuang kerja seperti Utusan Melayu dan Media Prima, sudah pasti dividen ini diharapkan untuk meringankan beban mereka dalam membuat persediaan persekolahan.

“Namun sayangnya, satu-satunya harapan mereka ini turut berkecai dan dividen terburuk dalam sejarah ini sekaligus membuktikan kedudukan ekonomi negara di bawah pentadbiran PH semakin kritikal.

“Sudahlah kos sara hidup semakin menghimpit, cukai pula semakin menaik dan lebih membebankan apabila tahun 2020 bakal menyaksikan semakin banyak cukai bakal diperkenalkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast