KUALA LUMPUR – British bukan penjajah dan kehadiran mereka dahulu sebenarnya dijemput oleh Raja-Raja Melayu untuk memajukan negeri-negeri di Malaya.
Itu pandangan bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar sekaligus berbeza dengan fakta sejarah yang diketahui umum.
“British banyak orang tak tahu, ingat mereka kolonialis di Tanah Melayu. Sebenarnya tidak. British ini dijemput oleh Raja-Raja Melayu untuk memajukan negeri-negeri Melayu di Malaya ketika itu dan saya rasa semua negeri begitu.
“Melainkan Johor kerana Sultan Johor memberikan Singapura kepada British dan mahu melihat sendiri bagaimana pihak yang dianggap ‘penjajah’ itu membangunkan Singapura tanpa perlu membawa atau mengerah tenaga dari China untuk bina Singapura,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Pejuang Negara Menentang Ideologi Komunisme di Padang Merbok hari ini.
Tambah Haniff, dalam perkembangan berkaitan Raja-Raja Melayu ketika itu memerlukan bantuan British untuk menyusun kaedah bagaimana untuk mentadbir negeri dengan membawa pembaharuan dan kesejahteraan kepada rakyat.
Katanya, pembaharuan itu termasuk sistem baharu yang moden namun kuasa di setiap negeri-negeri ketika itu masih di tangan Raja-Raja Melayu tanpa digugat oleh British.
Malah beliau juga mendakwa Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman tidak pergi ke London terus untuk berunding dengan British untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu.
“Sebelum pergi ke London, Tunku telah mengadap Raja-Raja Melayu terlebih dahulu sebelum Raja Raja Melayu bertitah kepada Tunku bahawa bolehkah Tunku berunding dengan British supaya kira-kira 200 orang pegawai British yang ada di Tanah Melayu ketika itu boleh berundur sebagai tanda sebelum mengisytiharkan kemerdekaan.
“Raja-Raja Melayu kemudiannya merestui Tunku, itupun British mengajak raja-raja bersama dalam rundingan atas alasan bahawa mereka tandatangan perjanjian dengan Raja-Raja Melayu bukan rakyat atau parti.
“Selagi Raja-Raja Melayu tidak tandatangan tidak bolehlah teruskan rundingan,” katanya lagi.
Oleh kerana British telah banyak melabur dalam perlombongan, perladangan, penubuhan pengkalan tentera udara di Butterworth dan sebagainya untuk mempertahankan Tanah Melayu jadi mereka mengajak mengadakan perundingan supaya pelaburan mereka dibalas dengan hasil sebelum bersetuju dengan kemerdekaan.
“Itulah sebab rundingan itu berlaku dengan British di London tetapi yang memberikan kemerdekaan ialah Raja- Raja Melayu, tapi ia tidak diterangkan (sejarah),” tegasnya lagi.
Pendapat yang sama pernah disuarakan oleh ahli akademik, Datuk Dr. Zainal Kling sebelum ini.- MalaysiaGazette
















