KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus bersikap tegas berdepan dengan tentangan pihak tertentu yang gagal memahami roh kesatuan bangsa Malaysia.
Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia, Shahir Adnan berkata, isu tulisan Jawi tidak harus dipolitikkan kerana ia merupakan kaligrafi seni warisan negara bukan instrumen Islamisasi seperti didendangkan pihak tidak bertanggungjawab dan Islamofobia.
Seharusnya, kata beliau, rakyat Malaysia dan parti tertentu berbangga dengan khazanah kaligrafi Jawi, Cina dan Tamil.
“Kami berkesempatan menghadiri program Karnival Kaligrafi Jawi, Cina dan Tamil anjuran NGO Pertubuhan Perpaduan Anak Muda Malaysia semalam.
“Tahniah kepada penganjur berjaya mengumpul ratusan rakyat pelbagai bangsa untuk sama-sama memahami seni warisan kaligrafi rakyat Malaysia.
“Program ini memberikan pendedahan dan penerangan berkenaan latar belakang dan kaedah menghasilkan seni kaligrafi Jawi, Cina dan Tamil yang merupakan warisan tersendiri di Malaysia,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Beliau menyatakan, program itu telah memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
Ujar Shahir, Pemuda Ikatan berpegang kepada misi dan visi perjuangan bangsa yang berpaksikan isi kandungan dan roh Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Amanat Merdeka Bapa Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ada menyatakan, “jika kita benar-benar mahu hidup sebagai satu keluarga dalam satu rumah bernama Malaysia, kita mesti ikhlas antara satu dengan lain seperti bangsa Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan Dusun, Siam dan agama Islam, Buddha, Hindu, Kristian dan lain-lain.
“Amanat itu juga menyatakan, jika kita ikhlas, kita tidak boleh berkata apa-apa yang akan menyakitkan hati antara satu sama lain. Kita juga tidak boleh berbuat apa-apa yang menyusahkan hati orang lain.
“Sebagai ahli keluarga yang ikhlas, kita mesti selalu tolong-menolong sesama kita. Yang kaya tolong yang miskin. Yang maju tolong yang kurang maju. Dengan cara itu barulah kita akan jadi satu bangsa dan negara yang bersatu padu dan kuat. Semua orang akan bahagia. Barulah Malaysia dihormati oleh dunia,” katanya. – MalaysiaGazette
















