KUALA LUMPUR – Orang ramai dipelawa menyertai kejohanan Selangor XTIV Virtual E-Sports 2020 (SXVE20) yang bermula semalam hingga Disember nanti.

Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, kejohanan secara atas talian itu merupakan julung-julung kali diadakan dan berlangsung secara berfasa.

Beliau berkata, fasa pertama bermula semalam hingga 31 Mei dengan lima permainan dipertandingkan iaitu Mobile Legends: Bang Bang, PUBG Mobile, FIFA 20, PES 20 dan Dota.

Manakala, kejohanan itu terbuka kepada tiga kategori iaitu bawah 12 tahun (Sekolah Rendah), bawah 18 tahun (Sekolah Menengah) dan semua peringkat umur dengan hadiah wang tunai terkumpul sebanyak RM250,000 direbut peserta.

“SXVE20 adalah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk menggalakkan penglibatan aktif rakyat, khususnya belia dalam melakukan aktiviti berfaedah di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi bersama-sama berganding bahu mencegah penularan Covid-19 dengan terus kekal #stay@home,” katanya menerusi kenyatan hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, kejohanan itu menekankan pembangunan E-Sukan di peringkat akar umbi dengan membuka peluang lebih ramai bakat-bakat baharu, sekaligus mensasarkan lebih daripada 100,000 penyertaan dalam talian terutamanya kepada pasukan-pasukan
amatur di seluruh Malaysia.

Tambah beliau, pertandingan tersebut turut diadakan bagi menggalak aktiviti berfaedah kepada para belia sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, ia juga mampu memupuk semangat solidariti kepada para belia dalam menyahut seruan “Stay at Home” bagi mencegah Covid-19.

Malah katanya lagi, ia juga mampu melahirkan bakat baharu E-Sukan di peringkat akar umbi serta menjadi platform kepada kerajaan negeri untuk mendekati para belia, sekaligus membangunkan E-Sukan di Selangor.

Sehubungan itu, orang ramai yang berminat untuk menyertai kejohanan boleh menghubungi Mohd Hafis Khairulah ditalian 012 677 4294 atau Suhaila Kamal ditalian 012 546 3464. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast