KUALA LUMPUR – Kerajaan memandang serius insiden ketidakpatuhan prosedur standard operasi (SOP) bagi mereka yang menjalani proses kuarantin di kediaman.
Sikap tidak bertanggungjawab mereka itu telah menyebabkan berlaku penularan jangkitan Covid-19 kepada ahli keluarga dan juga masyarakat sekeliling.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, ketika mendedahkan perkara itu berkata, Pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) bersama polis telah membuat 2,018 pemeriksaan mengejut semalam untuk memastikan semua yang terlibat mematuhi SOP ditetapkan.

Katanya, daripada pemeriksaan itu, seorang individu telah dikenakan tindakan.
“Polis juga telah mengambil tindakan di bawah Seksyen 22(B) Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, 1988) terhadap 31 individu yang telah melanggar SOP kuarantin di rumah kerana didapati keluar dari kawasan kediaman.
“Kertas siasatan terhadap mereka ini telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan,” katanya dalam sidang media khas Covid-19 di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Menurut Ismail Sabri, dari 24 Julai sehingga semalam, seramai 6,473 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.
Kata beliau, semua mereka telah ditempatkan di 26 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak dan Perlis.
Daripada jumlah itu juga, jelas beliau, 18 individu telah dibawa ke hospital untuk rawatan kerana positif Covid-19.
Mengenai rungutan berhubungan makanan tidak berkualiti dan pusat kuarantin kotor, beliau menjelaskan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah mengambil tindakan susulan.
“Saya dimaklumkan, pihak hotel telah menukar menu makanan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette
















