Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas berucap sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Felda Trolak Utara, Tanjung Malim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 27 OGOS 2020

SLIM RIVER – “Tak sangka ramai datang malam ini,” kata bakal Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad selepas melihat sokongan rakyat kepada calon bebas sempena ceramah perdana di Felda Trolak Utara di sini malam ini.

Dr Mahathir berkata, beliau mengharapkan penduduk Slim membuat pilihan tepat melaksanakan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada Sabtu ini.

Beliau merayu kepada pengundi agar memilih Pejuang yang kini ditubuhkan untuk menggantikan UMNO dan Bersatu yang telah menyeleweng daripada perjuangan asal.

“Kita tubuh parti baharu sebab hendak bersih politik kewangan untuk agama, bangsa dan negara serta bukan sebab hendak isi poket pemimpin.

“Ahli Bersatu lemah dan takut kepada UMNO dan patutnya kembali kepada kita tapi ada yang beri alasan kerana sudah ada jawatan menteri dan hendak dapat duit.

“Jadi PRK ini penting hendak tunjukkan politik kewangan yang tiada rasuah dan sistem politik yang bersih.

“Pejuang ditubuhkan mengganti UMNO dan Bersatu yang seleweng jauh daripada perjuangan asal,” katanya.

Ceramah itu turut dihadiri bakal Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Turut hadir, calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Terdahulu, kehadiran Mahathir pukul 9.15 malam disambut hampir 1,000 penyokong Pejuang yang memakai t-shirt hitam dan putih yang menyebabkan kesesakan trafik.

Bagaimanapun aura Mahathir terus meresap pada penyokong Pejuang dengan laungan Hidup Tun bergema ketika bekas Perdana Menteri memasuki khemah.

Kehadiran bekas Pengerusi Bersatu itu turut diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Bagaimana ada waktunya ucapan Mahathir dan Mukhriz terganggu dengan sekumpulan individu yang menaiki kenderaan sambil membuat bising dan memukul gendang.

“Buat bising sebab tak tahu nak cakap apa. Macam dalam Dewan Rakyat, kita hujah dengan benar, Arau (Ahli Parlimen) dan Baling bising sampai tak tahu apa mereka cakap,” katanya yang mendapat sorakan orang ramai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.