KUALA LUMPUR – Membasuh kilang, loji, kandang ternakan dan premis perniagaan tanpa kemudahan rawatan air sisa boleh mencemarkan sumber air di sungai, tasik dan empangan.
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, apa sahaja kotoran, najis dan bahan kimia dari pembersihan premis itu menyebabkan air terus disalur ke longkang sebelum masuk ke anak sungai dan sungai utama tanpa sebarang rawatan intensif.
Katanya, kebanyakan premis di kawasan perumahan yang menghasilkan air basuhan dari bilik air, dapur serta tandas yang dikenali sebagai kumbahan telah disambung dengan sistem pembetungan berpusat yang dikendalikan oleh syarikat Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK).
“Pembetungan berpusat dilengkapi dengan Loji Rawatan Kumbahan (LRK) bertujuan untuk mengurangkan tahap pencemaran sebelum kumbahan terawat dilepaskan ke sungai atau laut.
“Jika tahap pencemaran dilepaskan dari kilang, loji (termasuk LRK), kandang ternakan dan premis perniagaan tinggi kandungan bahan cemarnya sama ada bahan organik atau bahan bukan organik, maka muka sauk untuk pengambilan air mentah terpaksa ditutup.
“Penutupan ini kerana Loji Rawatan Air (LRA) hanya dibenarkan merawat air mentah yang rendah tahap bahan cemarnya bagi mengurangkan risiko kesihatan awam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Zaini menjelaskan, teknologi rawatan LRA boleh ditambahbaik bagi memastikan sungai atau air bawah tanah yang tercemar dijadikan sumber air mentah, tetapi kos pembinaan dan operasinya akan meningkat serta dan risiko kesihatan awam akan juga meningkat.
Untuk mengatasi masalah pencemaran itu, Zaini berkata, semua premis perumahan, kilang, loji, kandang ternakan dan perniagaan perlu mempunyai kemudahan rawatan air sisa atau kumbahan.
“Sebagai pengguna, pastikan kumbahan dari rumah kita disalurkan pada sistem pembetungan berpusat yang dikendalikan oleh IWK.
“Jika menggunakan tangki septik, pastikan tangki itu dikosongkan sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun,” katanya.
Beliau berkata, sebagai warga prihatin, laporkan kepada pihak berkuasa jika ada bukti berlaku pencemaran sumber air sama ada dalam longkang, terusan, anak sungai atau sungai.
Dalam kejadian terbaharu semalam, LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke loji-loji ini.
Ketua Komunikasi Korporat, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Elina Baseri berkata, henti tugas loji-loji itu akan menyebabkan 273 kawasan terjejas, iaitu 309,605 akaun pengguna, mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Ia melibatkan empat wilayah iaitu Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang, ujarnya.
Sementara itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, pencemaran bau Sungai Semenyih yang menyebabkan operasi LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan sejak jam 4.30 petang semalam, disyaki berpunca dari Kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.
Katanya, siasatan awal mendapati pencemaran bau itu mengalir ke Sungai Semenyih dari Sungai Batang Benar yang berhampiran dengan kawasan perindustrian itu. – MalaysiaGazette
















