Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menekankan keperluan mewujudkan Pelan Jangka Masa Sederhana-Panjang dengan lebih terperinci bukan sahaja untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat dan ekonomi negara, tetapi juga bagi menangani keresahan rakyat.

Perkara itu ditekankan di dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara sidang video berkenaan COVID-19 yang dipengerusikan beliau hari ini.

Menurut kenyataan yang dipaparkan di Facebook Muhyiddin, Perdana Menteri sedar keresahan rakyat menghadapi situasi pandemik COVID-19 pada masa ini masih belum reda, yang menyebabkan kebergantungan kepada kerajaan semakin tinggi.

Mengakui senario menguruskan COVID-19 sekarang telah berubah, Muhyiddin mengajak semua ahli mesyuarat MKN untuk lebih fokus dalam usaha memerangi wabak itu serta membuktikan Malaysia pasti akan menang melawan pandemik berkenaan.

“Beliau turut mengingatkan ahli mesyuarat supaya lebih teliti dalam membuat keputusan untuk menguruskan COVID-19 dengan lebih berkesan.

“Setiap keputusan yang dibuat mestilah difahami manfaat, risiko dan kesannya kepada kesihatan dan ekonomi rakyat,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat harian yang diadakan secara sidang video telah bermula sejak 7 Okt lepas.

Malaysia mencatatkan 710 kes baharu COVID-19 semalam menjadikan jumlah terkumpul 24,514 kes. Terdapat 10 kematian direkodkan semalam, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 214 kes.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast