Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh.

KLANG – Kesemua 3,550 pekerja syarikat sarung tangan Top Glove tidak lagi dibenarkan meninggalkan asrama pekerja lelaki dan wanita sebaik sahaja syif bertugas mereka berakhir jam 7 pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, ia bagi memastikan kesemua pekerja warga asing itu tidak terkecuali daripada menjalani saringan Covid-19.

Ia susulan pengumuman kerajaan yang mengisytiharkan kedua-dua kawasan asrama pekerja Top Glove itu sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bermula hari ini.

“Sebenarnya yang itu (pekerja Top Glove keluar masuk asrama) disebabkan semalam mereka masih bekerja syif 7 malam sehingga 7 pagi.

“Jadi pekerja yang syif 7 pagi itu mereka balik dan kita benarkan mereka berada di sini (asrama) dan selepas ini kita tidak akan benarkan mereka keluar lagi,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan asrama pekerja lelaki Top Glove di Jalan Abadi 1A/KU8, Meru, hari ini.

Terdahulu MalaysiaGazette hari ini melaporkan pekerja-pekerja Top Glove kelihatan bebas keluar dan masuk dari asrama lelaki dan perempuan sejak jam 7.30 pagi tadi sedangkan kedua-dua kawasan itu mula melaksanakan PKPD bermula 12 tengah malam tadi.

Dalam perkembangan sama, kesemua 3,550 pekerja Top Glove yang berada di sektor A dan B masih belum menjalani ujian saringan Covid-19.

“Setakat ini belum ada saringan lagi, memandangkan kita baru hari pertama mengadakan PKPD ini, jadi pejabat kesihatan daerah akan memulakan bancian pada hari ini.

“Selewat-lewatnya sehingga esok ujian saringan Covid-19 boleh dijalankan,” katanya.

Nurulhuda memberi jaminan operasi Top Glove berjalan seperti biasa, bagaimanapun kesemua 3,550 pekerja yang mendiami asrama dan taman perumahan berdekatan di dalam sektor A dan B perlu menjalani kuarantin.

“Pada masa ini operasi (PKPD) hanya melibatkan pekerja asrama yang duduk di dalam sektor A dan B sahaja.

“Yang berada di luar kawasan ini masih lagi boleh bekerja seperti biasa,” jelasnya.

Selain asrama Top Glove, baki 2,150 pekerja yang duduk di kawasan perumahan berhampiran turut akan diwajibkan untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

“Sebahagiannya (pekerja Top Glove) adalah yang duduk di luar kawasan yang dikenakan PKPD ini. Ada lagi yang duduk di luar,” katanya.

Ditanya tentang kos saringan dan makanan untuk 3,550 pekerja terbabit, beliau berkata ia akan ditanggung oleh syarikat Top Glove.

“Bagi pekerja Top Glove, syarikat itu yang tanggung, bagi yang lain itu adalah di bawah Kerajaan Negeri Selangor.

“Jika terdapat penduduk tempatan yang terlibat dalam PKPD di sini, kos saringan dan makanan ditanggung oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast