Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cawangan Port Dickson mendesak Lembaga Disiplin PKR menyiasat rakaman perbualan ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang dikatakan membuat tuduhan melulu terhadap presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Ketua AMK Port Dickson, Muhamad Affandi Abdul Malik telah mengambil maklum mengenai tangkap layar melibatkan perbualan Akmal Nasrullah bersama barisan kepimpinan kanan AMK pusat yang tular sejak semalam.

Kata beliau, perbualan itu penuh dengan kenyataan sinikal, menghina, kebudak-budakan serta tuduhan melulu terhadap Anwar dan tidak wajar sama sekali datang daripada pemimpin kanan sayap parti.

“Alasan cetek diberikan, kononnya AMK harus bersifat berani tidak sama sekali mewajarkan kita untuk menggunakan ayat berbaur lucah dan penghinaan terhadap kepimpinan parti.

“Kader AMK sentiasa ditekankan soal idealisma perjuangan dan adab serta akhlak dalam mendepani mehnah perjuangan reformasi oleh Presiden,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Sebelum ini, tular perbualan dalam bahasa Melayu dan Inggeris pemimpin kanan PKR itu menyatakan rasa kecewa dan tidak puas hati terhadap Anwar, selepas kegagalan membuktikan dirinya mempunyai sokongan majoriti untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kata Muhamad Affandi, tuduhan terhadap Anwar itu wajar dipandang serius dan perlu diambil tindakan oleh Lembaga Disiplin parti.

“Sudah pasti tuduhan berat ini memberikan gambaran imej yang negatif terutama di kalangan rakan Pakatan Harapan (PH), apatah lagi datangnya dari seorang pemimpin kanan PKR.” katanya.

Beliau yang juga Exco AMK pusat mahu semua nama yang terlibat dalam perbualan itu disiasat di bawah Jawatankuasa Disiplin dan diberikan hukuman sewajarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kata parti keadilan. Nak siasat pun biarlah adil adakah itu fitnah atau realiti. Kenapa orang bawah kena siasat orang atas tak payah padahal dengan lagak dan cara anwar itu telah menjatuhkan ph dimata penyokongnya. Aku penyokong ph tapi rasa menyampah dengan cara anwar.

Comments are closed.