KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan terdapatnya tiga kluster Covid-19 baharu membabitkan empat buah negeri iaitu Sabah, Kuala Lumpur, Selangor dan Terengganu.
Kluster yang dikenalpasti ialah Kluster Bukit Gemok di Tawau, Sabah, Kluster Tapak Bina Cendana di Lembah Pantai, Titiwangsa dan Cheras, Kuala Lumpur.
Selain itu, Kluster Dang Mutiara di Gombak, Selangor, Dungun dan Kemaman, Terengganu.
Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Hisham Abdullah, jumlah kluster yang aktif dipantau pula sebanyak 189 dengan 56 kluster daripadanya telah berlaku pertambahan kes hari ini.
Kluster-kluster yang telah melaporkan pertambahan baru tertinggi adalah kluster Penjara Jalan Harapan (565 kes), Rumah Merah (112 kes) dan Tapak Bina Berangan (69 kes).
“Untuk tiga kluster baharu yang telah dikenalpasti pula kesemuanya melibatkan tempat kerja. Untuk Kluster Bukit Gemok di daerah Tawau 71 individu telah disaring dengan 10 daripadanya positif.
“Kluster Tapak Bina Cendana di Wilayah Persekutuan 175 telah disaring dengan 11 daripadanya positif Covid-19, 10 daripada angka itu ialah bukan warganegara manakala satu lagi rakyat tempatan.
“Bagi kluster Dang Mutiara di daerah Gombak, Dungun dan Kemaman Terengganu telah menyaring 102 individu dan 10 kes positif Covid-19,” katanya.
Dalam pada itu, kata Noor Hisham, Selangor masih melaporkan bilangan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 823 kes dengan 714 adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat yang sedang giat dijalankan oleh KKM ketika ini. – MalaysiaGazette















