DUBAI – Iran telah mendapat persetujuan Amerika Syarikat (AS) untuk memindahkan dana bagi membeli vaksin koronavirus dari luar negara, kata Ketua Bank Pusat Tehran.
Gabenor Bank Pusat, Abdolnaser Hemmati berkata, sebuah bank Iran telah mendapat sokongan daripada Pejabat Kawalan Aset Asing Perbendaharaan AS untuk memindahkan wang itu ke bank Switzerland untuk membayar pembelian vaksin.
“Mereka (AS) telah menjatuhkan sekatan ke atas semua bank kami. Mereka menerima satu kes ini di bawah tekanan masyarakat dunia,” kata Hemmati kepada TV negeri.
Setakat ini belum ada ulasan dibuat oleh AS.
Hemmati berkata, Iran akan membayar sekitar AS$ 244 juta untuk 16.8 juta dos vaksin dari COVAX, sebuah kumpulan pelbagai agensi yang didedikasikan untuk memastikan akses yang adil untuk mendapatkan vaksin bagi negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Pegawai Iran sebelum ini secara berulang kali bahawa sekatan AS menghalang negara itu membuat pembayaran kepada COVAX, yang mana 190 ekonomi telah mendaftar.
Shifa Pharmed mula mendaftarkan sukarelawan minggu ini untuk percubaan manusia terhadap calon vaksin Covid-19 domestik pertama di negara itu, menurut media Iran.
“Kami tidak mengesyorkan untuk menyuntikkan vaksin koronavirus asing kepada anggota Pengawal Revolusi dan tentera sukarela,” kata media Iran memetik Mohammed Reza Naqdi, wakil kepala Pengawal Revolusi Iran.
Jurucakap Kementerian Kesihatan memberitahu, seramai 152 orang telah meninggal akibat Covid-19 di Iran dalam tempoh 24 jam, jumlah terendah sejak 18 September, menjadikan jumlah kematian menjadi 54,308 di negara yang paling teruk di Timur Tengah.
Kejatuhan angka kematian itu susulan lebih dari sebulan perintah berkurung pada waktu malam dan sekatan lain di bandar-bandar utama.
Sepanjang tempoh itu, polis mengeluarkan 96,000 surat kompaun di seluruh negara kerana pemandu melanggar perintah berkurung. – MalaysiaGazette
















