KUALA LUMPUR – Kedai serbaneka mesra pelanggan, Mak Long Mart bercadang untuk membuka cawangan baharu setiap tahun dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Pengurus Besarnya, Datin Hasnah Abd. Samad berkata, pihaknya merancang membuka cawangan kedua di Kapar, Selangor selepas cawangan pertama di Puncak Alam mendapat sambutan menggalakkan sejak beroperasi November lalu.
Beliau berkata, selepas tiga tahun, jenama Mak Long Mart akan difrancaiskan kepada usahawan yang berminat dalam melebarkan penguasaan dalam bidang peruncitan.
“Kami mahu muncul sebagai kedai serbaneka yang lengkap dengan pelbagai barangan keperluan dan ditawarkan pada harga berpatutan selain memecahkan monopoli pihak tertentu dalam sektor runcit di kawasan kampung atau pendalaman.
“Jadi Mak Long Mart memilih konsep lebih mesra pelanggan, susan atur bersih dan moden bagi memenuhi gaya hidup masyarakat kini yang mahu membeli barangan dengan cepat dan mudah di satu kedai yang serba lengkap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di cawangan sulung Mak Long Mart di Bandar Puncak Alam, baru-baru ini.
Mak Long Mart dibangunkan dengan nilai pelaburan kira-kira RM500,000 itu meskipun Hasnah terpaksa bersaing dengan pasar raya besar dan kedai serbaneka berjenama popular di situ selain penularan wabak Covid-19.
Hasnah yang sebelum ini pernah bekerja di syarikat swasta selama 20 tahun itu berkata, pembukaan Mak Long Mart bakal menjadi platform terbaik buat dirinya untuk membantu usahawan kecil dan sederhana.

Jelas beliau, pihaknya komited memberi peluang kepada ramai peniaga bumiputera yang serius untuk menjadikan Mak Long Mart sebagai platform menawarkan produk keluaran masing-masing yang berkualiti.
“Saya mengharapkan kedai serbaneka kami kelak menjadi pelengkap kepada industri peruncitan di mana-mana kawasan selepas ini.
“Pada sama sama, peluang pekerjaan akan diwujudkan kepada penduduk kampung terutama golongan belia untuk membantu ekonomi mereka,” katanya.
Hasnah turut melahirkan rasa syukur terhadap penerimaan positif pelanggan sejak mula beroperasi pada Oktober tahun lalu.
“Biarpun mengambil risiko besar membuka perniagaan pada musim pandemik Covid-19, kami bersyukur kerana masih menerima sambutan memberangsangkan sehingga ke hari ini,” katanya.

Selain itu, Hasnah menjelaskan, Mak Long Mart turut menampilkan kelainan kerana mengadakan promosi tawaran jualan ikan segar yang dibawa khusus dari Kuala Kedah, Kedah pada setiap hari Sabtu.
“Mak Long Mart juga memiliki keunikannya yang tersendiri kerana kami turut mengeluarkan sendiri seperti perencah masakan sendiri di bawah jenama Mak Long,” jelasnya.
Hasnah turut memberitahu, Mak Long dipilih sebagai wanita untuk ditampilkan dalam penjenamaan cawangan tersebut kerana nama Mak Long begitu sinonim dan dekat dengan sesebuah keluarga Melayu dalam kalangan anak sulung wanita adik-beradik. – MalaysiaGazette
















