Kompleks Seri Negeri yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan negeri Melaka.- Gambar hiasan.

MELAKA – Pentadbiran kerajaan Melaka berjalan seperti biasa tanpa melibatkan sebarang perubahan susulan pembubaran Parlimen hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Zaidi Johari berkata, pembubaran itu hanya melibatkan kerusi Parlimen manakala bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka tidak terkesan kerana telah melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November lalu.

“Dari sudut pentadbiran negeri, tiada apa-apa perubahan sebab kita dah selesai adakan PRN, jadi hanya enam kerusi Parlimen di Melaka sahaja yang terlibat dengan PRU.

“Ketua Menteri (Datuk Seri Sulaiman Md Ali) pun tetap akan menjalankan tugas seperti biasa,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perdana Menteri mengesyorkan ketua-ketua kerajaan negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi membubarkan DUN masing-masing pada tarikh yang sama dengan pilihan raya umum peringkat Parlimen. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast