menara kawalan trafik udara
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (tengah) diiringi Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman (kiri) ketika membuat lawatan kerja ke Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) di Sepang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 12 DISEMBER 2022.

SEPANG – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook meminta kerjasama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk memastikan semua menara kawalan trafik udara khususnya di Sabah dan Sarawak memanjangkan waktu operasi, mulai Tahun Baharu Cina.

Menurut beliau, langkah itu bagi memastikan lapangan terbang di seluruh negara boleh beroperasi dalam tempoh yang lebih panjang.

Anthony menambah, seterusnya, syarikat-syarikat penerbangan boleh menambah kekerapan penerbangan terutamanya pada waktu malam.

“CAAM telah beri komitmen kepada saya ini akan dilaksanakan pada musim perayaan, seminggu sebelum Tahun Baharu Cina dan untuk musim perayaan lain termasuk Hari Raya Aidilfitri.

“Dengan tambahan masa operasi, maka syarikat penerbangan tiada alasan tidak boleh menambah penerbangan jadi saya menyeru kepada semua syarikat penerbangan untuk menambah penerbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi CAAM, Tan Sri Khairul Adib Abd. Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Chester Voo.

Anthony juga percaya dengan penambahan kekerapan penerbangan, harga tiket kapal terbang dapat dikurangkan.

“Saya akan bincang dengan semua syarikat penerbangan, saya fikir ini sesuatu yang kita boleh laksanakan,” jelasnya.

Berhubung rungutan penumpang mengenai masalah kelewatan dan penundaan jadual penerbangan, beliau memberitahu, kadang-kadang terdapat masalah teknikal di mana pesawat-pesawat yang tidak beroperasi semasa pandemik Covid-19 masih belum dioptimumkan.

“Untuk mereka aktifkan semula pesawat itu, dia bukan macam kereta, bila sudah berhenti dua tahun tak bergerak boleh hidupkan enjin terus jalan,” katanya.

Anthony berkata, ekoran situasi itu, pesawat pengganti tidak dapat disediakan dengan cepat apabila berlaku masalah teknikal atau cuaca. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast